ISIS Lancar Serangan Senjata Kimia

Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 9:59 AM

Keadaan mangsa serangan ISIS dipercayai menggunakan senjata kimia mengakibatkan penduduk mengalami masalah kesihatan.

(Ubah saiz teks)

MILITAN Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) dipercayai melepaskan tembakan menggunakan senjata kimia terhadap pejuang Kurdis di bandar Kobane, sempadan Syria-Turki.


Insiden terbaharu ini dilaporkan wartawan BBC, Guney Yildiz apabila perkara itu dimaklumkan pihak Kurdis berhubung serangan menggunakan senjata kimia itu.

Serangan itu mengakibatkan penduduk mengalami masalah kesihatan, termasuk buta, kulit melepuh dan pernafasan.

Setakat ini, mangsa masih belum dapat dibawa untuk mendapatkan rawatan kesihatan kerana serangan yang masih berlaku.

Seorang doktor di bandar itu yang turut menjadi mangsa apabila mengalami kecederaan hampir 75 peratus pasti serangan itu membabitkan penggunaan senjata kimia.

Minggu lalu, kerajaan Iraq melaporkan ISIS mengawal sebahagian besar kawasan di negara itu yang menempatkan 2,500 senjata kimia lama.

Kawasan itu dibom pihak Amerika Syarikat ketika Perang Teluk pada 1991, bagaimanapun hanya sebahagian kawasan yang menempatkan senjata itu musnah.

Bagaimanapun, pihak Iraq memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa senjata yang ditinggalkan itu masih dilengkapi bahan yang boleh membawa maut itu. Senjata yang dihasilkan antara 1980-an dan awal 1990-an itu dikatakan kini dikuasai kumpulan militan itu.

Pihak Iraq juga mendakwa melihat peralatan itu dirampas menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

New York Times pula melaporan, berikutan itu militan berkenaan menutup kamera berkenaan.

Duta Iraq ke PBB, Mohamed Ali Alhakim memaklumkan kepada PBB mengenai kumpulan pengganas bersenjata yang menguasai kompleks Muthanna yang terletak hampir 100 kilometer dari Baghdad pada 11 Jun lalu.

Menerusi surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, beliau berkata, tinggalan senjata kimia itu disimpan dalam dua bunker di kompleks itu.

"Pihak yang menguruskan kawasan kompleks itu mengesan pada subuh 12 Jun lalu menerusi sistem pemantauan adanya peralatan yang dirampas pengganas sebelum fungsi kamera itu ditamatkan," katanya.

Kompleks Muthanna membabitkan keluasan kira-kira lima kilometer kali lima kilometer dan berupaya menghasilkan 4,000 tan bahan kimia untuk senjata api setahun.









Tags / Kata Kunci: Guney Yildiz , senjata kimia , Kurdis , Kobane

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan