Pasangan Suami-Isteri Inggeris Ditemui Mati Dalam Bilik Hotel Di India

Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 5:30 PM

Mayat pasangan suami-isteri pengembara dari Britain yang ditemui mati di dalam bilik hotel di Agra, India berhampiran destinasi pelancongan terkenal, Taj Mahal dipercayai menjadi mangsa pengambil pil atau ubat-ubatan yang berlebihan.

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Dikelilingi pelbagai pil tidur, anti-depresi, anti-kegelisahan dan botol ubat batuk, pasangan suami-isteri warga Britain ditemui mati dalam bilik hotel mereka yang terletak di kawasan pelancongan terkenal iaitu Taj Mahal.

Kedua-duanya adalah pemegang ijazah kelas pertama dan merupakan bekas pensyarah bahasa Inggeris di sebuah kolej di Manchester, England.

Mereka sedang mengembara di India dengan rancangan untuk mengajar sambil melancong.

Polis berkata, James Gaskell, 27, dan isterinya Alex, 24, mati kerana mengambil pil secara berlebihan.

Turut ditemui bersama mereka ialah buku panduan pengembaraan, beg, telefon bimbit serta ubat-ubatan.

Penemuan mayat mereka adalah sama sekali kontras dengan foto-foto yang dimuatnaikkan oleh pasangan ini beberapa hari lalu yang menunjukkan mereka sedang bergembira, sentiasa tersenyum dan romantis sepanjang pengembaraan mereka di sini.

Bagaimanapun James ada mengirim beberapa siri mesej dalam laman Twitter bercakap mengenai sikap kasualnya berhubung pelbagai jenis dadah dan pil-pil yang mengandungi dadah.

Tweetnya yang terakhir iaitu pada Ahad, dua hari sebelum mayat mereka ditemui menceritakan bagaimana mudahnya untuk mereka memperolehi ubat-ubatan di India.

Dia menulis bahawa ubat seperti kodeina hanya boleh diperolehi dari bawah kaunter manakala Valium, Xanax dan Lyrica boleh diperolehi dengan mudah di mana-mana.

Yang peliknya sementara suaminya itu tanpa berselindung bercakap mengenai dadah dan penggunaan dadah, keluarga isterinya menegaskan bahawa anak perempuan mereka adalah seorang yang anti-dadah.

Pasangan tersebut berkahwin November tahun lalu ditemui mati di Hotel Maya, Agra, berhampiran dengan destinasi popular, Taj Mahal.

James Gaskell ditemui mati dalam keadaan terbaring disisinya manakala isterinya rebah dalam posisi membongkok.

Terdapat tanda-tanda di dalam bilik itu yang salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sedang sakit sebelum mati.

Pemilik hotel bajet itu, Rajesh Gupta memberitahu yang pasangan tersebut mendaftarkan diri pada Isnin malam.

"Mereka kemudiannya memesan makan malam pada lebih kurang jam 9 malam dan sejam kemudian ketika pesanan dihantar, James Gaskell yang membuka pintu bilik untuk menerima makanan.Dia tidak benarkan pekerja kami memasuki bilik dan terus menutup pintu.

"Mereka hanya membuat tempahan untuk bermalam selama satu malam sahaja. Tetapi apabila pasangan itu tidak turun ke kaunter untuk melanjutkan tempahan, pekerja kami telah pergi mengetuk pintu bilik mereka pada jam 11:30 pagi Selasa tetapi tidak ada respon.

"Pintu bilik mereka masih berkunci dari dalam dan oleh kerana tidak ada respon pengurus kami telah menghubungi polis. Selepas memecah masuk, polis menemui mereka sudah pun meninggal dunia dengan televisyen dan alat penghawa dingin masih terpasang," katanya.

Polis kemudiannya menemui lima buah botol ubat batuk yang sudah kosong, berkeping-keping pil tidur, pil tahan sakit, pil anti-depresi dan ubat anti-kegelisahan yang dibekalkan oleh Hospital Sir Ganga Ram, Delhi.

Ketua Polis Agra, Shalabh Mathur berkata, daripada preskripsi tersebut, adalah jelas bahawa mangsa wanita itu mengalami sakit kepala.

"Kami tidak menemui sebarang tanda yang bilik mereka telah dipecah masuk melainkan oleh pasukan polis yang membuat pemeriksaan selepas menerima panggilan daripada pemilik hotel dan satu-satunya kesimpulan yang boleh kami buat ialah kedua-dua mangsa telah mengambil ubat-ubatan ini secara berlebihan," ujarnya.

Mengenai pil anti-kegelisahan, Dr Ish Anand, pegawai perubatan yang memberikan pil tersebut kepada James  Gaskell berkata, mangsa mendakwa telah lama mengambil pil berkenaan dan berada pada tahap perlu memakannya.

"Dia kelihatan seperti ketagihan pil tersebut dan orang yang berada di dalam situasi ini tidak selamat untuk berhenti secara mendadak. Jadi saya memberinya dos yang berlainan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Saya juga dapati yang keadaannya ketika itu adalah stabil, tenang, berjaga-jaga dan boleh berjalan dengan elok. Apabila dia bercakap, dia kelihatan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai ubat tersebut jadi saya menganggap yang dia boleh mengendalikannya dengan selamat," kata doktor itu.

Bapa tiri Alex pula memberitahu akhbar Britian the Mail, bahawa menantunya itu mengambil dadah yang terkawal untuk merawat depresi.

"Ini bukanlah dua remaja yang sedang dalam pengembaraan dadah di India...James memang sedang dalam preskripsi pil depresi dan mereka ke sana untuk mengenali lebih dekat budaya dan cara kehidupan masyarakat India, bukannya untuk bersuka ria dengan dadah," katanya lagi.

Alex dikatakan seorang yang sangat berhati-hati dengan dadah apatah lagi budaya mengambil dadah.

Kedua-duanya mengajar bahasa Inggeris di Kolej Antarabangsa Manchester dan berhasrat suatu hari nanti mengajar bahasa Inggeris di luar negara seperti di India atau Indonesia.

Dan kedua-duanya adalah graduan yang cemerlang - memperolehi ijazah kelas pertama.

Mereka telah mengembara di benua kecil India sejak Julai lalu.


Tags / Kata Kunci: Manchester , The Daily Mail , Britain , India , Valium , Xanax , Lyrica , diazepam

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan