Pesawat American Airlines Mendarat Cemas, Dinding Kabin Merekah

Diterbitkan: Rabu, 15 Oktober 2014 10:30 AM

(Ubah saiz teks)

SEBUAH pesawat American Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas apabila dinding kabinnya mula merekah sehingga menggerunkan penumpang yang melihatnya.

Salah seorang penumpang, James Wilson berkata, penumpang dalam penerbangan pada Isnin dari San Francisco ke Dalles menyedari sesuatu tidak kena berlaku apabila mereka merasakan badan pesawat mula bergegar dan bunyi kuat dapat didengari dari luar Boeing 757 sejurus selepas berlepas.

Keadaan itu menjadi tanda tanya sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan penumpang yang bimbang pesawat itu akan terhempas kerana panel bahagian dalamnya di kedua-dua belah kabin merekah dari dindingnya.

Mereka kemudiannya merasai terdapat perubahan tekanan dalam kabin kemungkinan disebabkan oleh kebocoran saluran udara.

Wilson dari Kyle, Texas, memberitahu Associated Press: "Ia (rekahan) melibatkan seluruh baris 14 di kedua-dua bahagian, dari lantai ke siling."

Dia memberitahu ABC7: "Tiba-tiba (kami dengar) bunyi bising... pop, pop, pop... bunyinya sangat kuat dan bunyi seperti rekahan. Ia kedengaran seperti bola boling yang jatuh dari atas tempat susunan pin.

"Ia sangat menakutkan. Kami tidak tahu apakah yang telah berlaku.

"Kami semua menjerit kepada kru kabin, "Datang sini lihat dinding sedang merekah!"

Walaupun menjadi kebimbangan para penumpang, kapten juruterbang membuat pengumuman bahawa Penerbangan 233 akan meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas/Fort Worth kerana tekanan kabin stabil.

Bagaimanapun, juruterbang itu kemudiannya mengubah fikiran selepas keluar dari kokpit dan melihat sendiri kerosakan yang berlaku. 

Pesawat itu berpatah balik dekat sempadan California-Nevada dan membuat pendaratan cemas di San Francisco.

Pasukan bomba dan penyelamat bersiap sedia menunggu di landasan terbang sewaktu pesawat tersebut melakukan pendaratan.

Bagaimanapun, kesemua 184 penumpang dan enam kru yang menaiki pesawat berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Pesawat itu kemudiannya dibawa untuk pemeriksaan dan pembaikan.

Persekutuan Pentabiran Penerbangan Amerika Syarikat berkata, ia akan melakukan siasatan bersama dengan American Airlines bagi mengesan dan menyelesaikan masalah yang berlaku sebelum pesawat itu boleh diterbangkan semula. - dailymail.co.uk


Tags / Kata Kunci: American Airlines , pendaratan cemas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan