Referendum Untuk Menentukan Kemerdekaan Catalonia Dari Sepanyol Dibatalkan

Diterbitkan: Selasa, 14 Oktober 2014 6:00 PM

Peta menunjukkan di mana terletaknya wilayah Catalonia dalam Sepanyol. Wilayah tersebut inginkan kemerdekaan penuh.

(Ubah saiz teks)

MADRID: Kerajaan autonomi Catalan yang berhasrat untuk mengadakan referendum menuntut kemerdekaan daripada Sepanyol pada 9 November depan telah membatalkan rancangan tersebut.

Keputusan tersebut dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan kumpulan pro-referendum pada Isnin.

Alasan yang diberi ialah, mereka khuatir kerajaan Sepanyol akan menggunakan apa juga cara untuk menghalang rancangan tersebut nanti.

Mahkamah Perlembagaan Sepanyol telah pun memutuskan pada September bahawa kerajaan pusat berhak membentangkan hujah mereka berhubung referendum tersebut bagi berhujah sama ada ia bertentangan dengan undang-undang negara.

Keputusan mahkamah itu secara automatisnya bermakna referendum tersebut tidak boleh diadakan lagi tetapi kerajaan autonomi Catalonia bertegas untuk meneruskannya juga.

Bagaimanapun mereka kini menarik balik hasrat tersebut.

“Kerajaan wilayah Catalonia telah memutuskan bahawa referendum yang dirancang untuk berlangsung pada 9 November depan tidak boleh diadakan,” kata Joan Herrera, salah seorang ahli Parlimen Catalonia selepas pertemuan itu berlangsung.

Kerajaan autonomi Catalonia di bawah pimpinan Artur Mas, dijadualkan untuk mengumumkan cadangan alternatif pada Selasa.

Mas sebelum ini pernah dipetik sebagai berkata yang dia akan menghormati undang-undang yang sedia ada sepanjang proses menuntut kemerdekaan ini dibuat.

Malah beliau pernah berkata, jika kerajaan pusat menyekat hasrat mereka untuk merdeka, kerajaannya akan mengadakan pilihan raya awal bagi memperolehi mandat baru.

Mas kini menerima tekanan daripada kumpulan berhaluan kiri iaitu Catalan Republican Left (ERC), yang menuntut parlimen terus mengisytiharkan kemerdekaan tanpa sebarang tangguhan lagi.

Tinjauan umum mendapati, ERC mungkin akan mencapai kemenangan besar jika Mas memutuskan untuk memanggil pilihan raya awal.

Wilayah Catalonia yang mempunyai 7.5 juta penduduk atau 16% daripada populasi keseluruhan Sepanyol merupakan wilayah yang paling maju dan pesat berkembang dengan Barcelona sebagai ibu negerinya.

Bangsa Catalan mempunyai bahasa dan budaya mereka sendiri dan menjadi mangsa opresi ketika pemerintahan diktator Jeneral Francisco Franco.

Kini Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy, menyeru satu-satunya jalan untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan mengadakan dialog.

Tags / Kata Kunci: Catalan , Catalonia , Sepanyol , Artur Mas , Mariano Rajoy

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan