Jemaah Haji Malaysia Bergerak Ke Arafah

Diterbitkan: Khamis, 2 Oktober 2014 5:33 PM

(Ubah saiz teks)

MAKKAH: Pengiraan detik sejak berada di tanah suci bagi kebanyakan jemaah haji ialah menunggu ketibaan Hari Wukuf, untuk berkumpul bersama jutaan umat Islam di Arafah dan melaksanakan kemuncak ibadah haji.

Pada Khamis pagi, kumpulan jemaah haji Malaysia dengan berpakaian ihram mula bergerak secara berperingkat ke Arafah, kira-kira 22km dari sini.

Kumpulan pertama bergerak pada pukul 11 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia), kumpulan kedua pada 2 petang waktu tempatan dan kumpulan ketiga pada pukul 4 petang, dengan menaiki bas untuk menyertai lebih dua juta umat Islam dari seluruh dunia berwukuf di Arafah.

Mereka akan bermalam di Arafah bagi menunggu waktu Wukuf yang akan bermula daripada gelincir matahari (masuk waktu Zuhur di Arab Saudi) hari ke-9 Zulhijah (Jumaat), Antara waktu itu sehingga terbenam matahari, adalah waktu yang dinantikan para jemaah, kerana merupakan waktu mustajab doa di bawah langit terbuka.

Wukuf merupakan rukun haji utama, yang bermaksud berhenti dan berada di di bumi Arafah sebentar atau seketika.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: "Haji itu adalah wukuf di Arafah."

Antara yang berada dalam rombongan awal jemaah Malaysia ke Arafah ialah Suati Silikon, 96, dari Air Hitam, Johor, jemaah tertua Tabung Haji bagi musim haji kali ini, yang diiringi menantunya Halimah Puteh, 60.

Suati, walaupun terpaksa menolak dua kali untuk menjadi tetamu Allah sebelum ini kerana kedudukan kewangannya yang tidak stabil, kini amat bersyukur akhirnya dapat bersama jutaaan umat Islam sedunia untuk berwukuf di Arafah.

Ibu kepada enam orang anak itu tidak pernah lekang mengucapkan syukur terhadap Allah kerana dapat mengerjakan ibadah haji, Rukun Islam kelima ini, walaupun pada usia yang lewat.

Selain Suati, sebanyak 53 lagi jemaah warga emas, yang terdiri daripada 24 lelaki dan 29 wanita, uzur dan perlukan bimbingan, terpilih untuk menyertai program Warga Emas Tabung Haji iaitu untuk jemaah yang berumur 65 tahun ke atas, yang dibawa menaiki dua bas dengan pengiring masing-masing ke Arafah.

Pengurus Unit Kaunseling TH Fauziah Ahmad berkata di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH itu, jemaah lelaki dijaga oleh petugas ambilan musim (PAM) dan jemaah wanita pula oleh petugas wanita TH, secara bergilir 24 jam sehari bermula Khamis.

Mereka dijaga bukan hanya daripada segi menjalankan ibadah, makan minum dan ke bilik air, tetapi juga ditemani sepanjang masa, katanya.

Antara yang terpilih untuk menyertai program itu ialah Imam Masjid Kampung Kenangan Tun Dr Ismail Bakri, Johor, Hussein Md Said, 82. Sejak tiba di Makkah, beliau demam, hinggakan tidak mempunyai selera untuk menjamah makanan.

Beliau adalah antara jemaah haji di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jemaah paling tua di bawah program itu ialah Mek Pandak, 95, dari Kelantan dan yang paling muda ialah bekas pensyarah bidang Seni Bina Universiti Teknologai Mara, Zaidi Abu Yazit, 43, yang buta sejak November tahun lepas.

Zaidi yang ditemani isterinya, Hamidah, menghadapi masalah penglihatan sejak lima tahun lepas hingga buta pada penghujung tahun lalu.

Fauziah berkata jemaah yang terpilih berdasarkan kesihatan mereka, tahap kefahaman mengenai ibadah haji, biasanya berseorangan dan memerlukan bantuan.
 
Jemaah haji yang sakit di hospital turut dibawa menaiki ambulans bersama doktor dan petugas kesihatan bagi menyempurnakan wukuf di Arafah.

Masuknya waktu Zohor pada Jumaat, yang menandakan bermulanya wukuf, Khutbah Arafah akan diadakan di setiap maktab, dan antara yang turut menyampaikan khutbah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Selepas khutbah, jemaah akan solat berjemaah Zuhur jamak taqdim secara tamam dengan solat Asar, dan diikuti dengan zikir dan doa Arafah.

Padang Arafah, yang sebelum ini sebuah padang pasir, adalah tempat bertemunya Nabi Adam dan Hawa setelah 200 tahun terpisah apabila diturunkan dari syurga kerana melanggar perintah Allah, dan di sinilah setelah bertahun-tahun bertaubat, akhirnya taubat mereka diterima.

Di sini jugalah tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya, semasa mengerjakan ibadah haji sebelum baginda wafat.
 
Sekarang ini padang Arafah menghijau dengan usaha kerajaan Arab Saudi menanam pelbagai pokok, termasuk pokok "neem" (daun bambu), untuk meneduhi para jemaah.

Suasana di Arafah diumpamakan sebagai padang Mahsyar, tempat berhimpunnya semua manusia, bagi menghadapi hari pengadilan kelak.

Tags / Kata Kunci: wukuf , Padang Arafah

iklan

Video

Isnin, 21 Ogos 2017 12:59 PM

Hafiz Tak Mengaku Saya Isteri - Joy Revfa

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:33 PM

Temui Cincin Pada Lobak Selepas 13 Tahun Hilang

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Kolumnis

iklan

Iklan