PM Thai 'Pasang Pagar'

Diterbitkan: Selasa, 9 September 2014 10:41 PM

Prayuth berjalan antara binaan yang dianggap boleh memberi semangat dan membawa tuah pada upacara keagamaan untuk memastikan semuanya berjalan lancar sebagai persiapan mesyuarat Kabinet pertamanya di Bangkok, Selasa.

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Menjelang pelantikan rasminya sebagai Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha membuat persediaan secukupnya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.


Antara kemungkinan yang difikirkan pegawai kanan tentera Thailand itu ialah gangguan sihir.

Seperti kebanyakan ahli politik negara itu, Prayuth percaya bantuan daripada semangat dan aspek kerohanian penting bagi melancarkan pentadbiran kerajaan.

Justeru Prayuth, 60, memastikan ada patung Buddha ditempatkan dalam kompleks kerajaan yang dikuasainya selepas mengetuai rampasan kuasa menyingkirkan Yingluck Shinawatra pada 22 Mei lalu.

Namun itu belum mencukupi.

Minggu lalu, Prayuth mengarahkan tetamunya merenjis air suci dari kepala hingga ke kakinya sebagai langkah berjaga-jaga mengelak sebarang sumpahan atau sihir.

Kerajaan pimpinan Prayuth juga beroperasi secara rasmi pada pukul 9 pagi pada 9 September (Selasa), sesuai dengan kepercayaan sesetengah pihak kepada tuah sesuatu angka.

Nombor sembilan - disebut sebagai "gaow" dalam bahasa Thai - dikaitkan dengan tuah perkataan "gaow-nah" yang bermaksud membangun.

Perabot dalam pejabat Prayuth juga disusun dengan teliti mengikut prinsip feng shui.

Seorang pembantu Prayuth berkata, meja tempat perdana menteri itu bekerja ditempatkan di bahagian timur biliknya kerana ia boleh membantu membuat keputusan yang cepat.

"Warna dalam bangunan pula kebanyakannya hijau kerana beliau memang selesa dengan warna tentera," katanya.

Pada Mac lalu, kumpulan antikerajaan mengadakan upacara di Rumah Kerajaan bagi 'melemahkan' sihir yang dipercayai ditujukan kepada mereka oleh kerajaan Yingluck.

Sementara itu, pegawai tentera berkata, di sebalik keyakinan Prayuth kepada ilmu hitam, ia tidak akan menjejaskan kemampuannya berkhidmat memimpin negara.

"Ia tidak akan memberi kesan kepada dasar kerajaan," katanya.





Tags / Kata Kunci: Prayuth Chan-ocha , sihir , feng shui

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan