15 Warga Australia Terbunuh Di Iraq & Syria

Diterbitkan: Rabu, 27 Ogos 2014 3:42 PM

Pengarah Agensi Perisikan Australia, David Irvine.

(Ubah saiz teks)

SYDNEY: Lima belas warganegara Australia termasuk dua orang yang bertindak sebagai pengebom berani mati dipercayai telah terkorban ketika berperang bersama kumpulan jihad di Syria dan Iraq.

Maklumat ini didedahkan oleh Ketua Agensi Perisikan Australia, David Irvine pada Rabu.

Canberra telah menyatakan kebimbangan mereka akan jumlah warganegaranya yang beragama Islam melibatkan diri dalam mengisytiharkan jihad menentang tentera Syria dan Iraq dalam usaha mereka untuk membentuk sebuah negara Islam.

Salah seorang warganya yang dikenali sebagai Khaled Sharrouf, mencetuskan kontroversi apabila imej anak lelakinya yang dibesarkan di sini muncul dalam laman Twitter sambil memegang kepada seorang tentera Syria yang terkorban.

"Kami dapati jumlah pejuang warganegara asing yang datang ke Syria dan Iraq untuk berjuang atas nama jihad semakin hari semakin bertambah dan ini termasuklah jumlah warganegara Asutralia yang juga semakin meningkat," jelas Irvine.

Berdasarkan data yang ada pada agensi itu, adalah dianggarkan lebih kurang 60 orang warga Australia kini berada bersama kumpulan jihad di Syria dan Iraq.

Mereka sama ada menyertai Jahabat-al-Nusra atau Kumpulan Negara Islam Syria/Iraq, kata Irvine.

"Daripada jumlah itu, kami menerima maklumat bahawa 15 warga Australia telah terbunuh dalam pertempuran dengan tentera kerajaan di Syria dan Iraq. Dan dua daripadanya adalah pengebom berani mati," jelas Irvine.

Mereka dapati, terdapat lebih 100 orang lagi yang bersimpati dan memberi sokongan kepada kumpulan ini dari dalam Australia sendiri.

Irvine berkata, agensinya kini bimbang, mereka yang pergi berjuang di medan perang ini suatu hari nanti akan kembali ke Australia dengan latarbelakang dan pengetahuan pernah menggunakan senjata dan membuat bom.

"Ia akan menjadi satu ancaman kepada masyarakat sivil," ujarnya.

Oleh itu kerajaan Australia kini merancang untuk memperkenalkan undang-undang baru yang membolehkan pihak berkuasa menahan dengan mudah mereka yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan termasuklah memperkenalkan undang-undang yang boleh menghalang warganya daripada mengembara ke negara yang terlibat dengan konflik tanpa alasan yang kukuh.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott memberitahu parlimen pada Rabu bahawa satu unit pencegahan pengganas telah pun dibentuk di dua buah lapangan terbang antarabangsanya iaitu Sydney dan Melbourne dan mereka berjaya memberkas seorang suspek militan baru-baru ini.

"Unit yang sama akan beroperasi di semua lapangan terbang antarabangsa Australia tidak lama lagi," kata Abbott.



iklan

Kolumnis

iklan

Iklan