Ketibaan Pelancong Di Thailand Merosot

Diterbitkan: Selasa, 19 Ogos 2014 7:54 PM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Ketibaan pelancong asing di Thailand pada suku kedua 2014 merosot 12.3 peratus kepada 5.3 juta berbanding tempoh sama tahun lepas dengan kekacauan politik sebagai penyebab utama.

Setiausaha Agung Lembaga Pembangunan Sosial dan Ekonomi Negara (NESDB) Akom Termpittayapaisit berkata angka itu juga rendah berbanding suku pertama tahun ini yang mencatatkan 6.6 juta ketibaan.

Kemerosotan itu melibatkan terutama pelawat dari Asia termasuk Asia Barat dan Amerika Syarikat, katanya.

Dalam pada itu, ketibaan pelawat dari Eropah, Oceania dan Afrika masing-masing meningkat sebanyak 6.3, 3.6 dan 6.1 peratus.

Lima negara penyumbang terbesar ialah Laos, United Kingdom, Perancis, Jerman dan Australia yang masing-masing mencatatkan peningkatan 33.0, 15.2, 10.2, 10.0 and 5.1 peratus.

Perolehan sektor pelancongan untuk suku kedua menguncup sebanyak 8.4 peratus berasaskan tahun ke tahun kepada 260 bilion baht, penguncupan besar berbanding suku pertama yang mencatatkan penurunan 4.2 peratus kepada 330.082 bilion baht. 

"Pada suku kedua, kami dapati pelawat China juga berubah selera dan melawat tempat-tempat lain seperti Jepun," katanya.

Menurutnya penguncupan industri pelancongan turut menjejaskan sektor restoran dan hotel yang mencatatkan penurunan 4.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu meneruskan trend suku pertama yang menguncup 3.1 peratus. 

Sementara itu, Majlis Keamanan dan Ketenteraman Awam Negara (NCPO)
menugaskan Kementerian Kebudayaan menerbitkan filem mengenai destinasi pelancongan bagi membantu industri.

Jurucakap NCPO Kol. Wintai Suvaree berkata perkara itu dinyatakan oleh Jeneral Prayuth Chan-ocha yang mengetuai NCPO, dalam usaha mempromosi Thailand kepada pelancong asing.

Wintai berkata demikian semasa sidang media selepas mesyuarat mingguan NCPO yang dipengerusikan Prayuth pada Selasa.
Tags / Kata Kunci: pelancong , Bangkok , merosot

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan