Parti Erdogan Tentukan Calon PM Baru Turki 21 Ogos

Diterbitkan: Jumaat, 15 Ogos 2014 7:40 PM

Erdogan akan mengangkat sumpah jawatan presiden pada 28 Ogos ini.

(Ubah saiz teks)

ANKARA: Presiden Turki yang baru, Recep Tayyip Erdogan berkata pada Jumaat yang partinya, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) akan menentukan pada 21 Ogos siapakah pengantinya sebagai perdana menteri.

Erdogan, yang memenangi pilihan raya presiden pada 10 Ogos lalu wajib melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri dan juga sebagai pemimpin AKP sebaik sahaja dia mengangkat sumpah sebagai presiden menjelang 28 Ogos ini.

Perlembagaan Turki tidak membenarkan presiden menyandang apa-apa jawatan dalam parti politik atau menunjukkan kecenderungan ke arah mana-mana parti politik.

AKP dijadual mengadakan kongres luar biasanya sehari sebelum Erdogan mengangkat sumpah sebagai presiden.

Kepimpinan utama parti itu telah pun menetapkan yang ketua baru mereka dan juga perdana menteri mestilah terdiri daripada calon yang sama.

Erdogan menjawat kerusi perdana menteri sejak 2003 dan dia memenangi jawatan presiden dengan sokongan 52 peratus undi.

Sebelum ini, jawatan presiden hanya dilantik dan bukannya dipilih menerusi pilihan raya.

Oleh yang demikian, Erdogan mencatat sejarah sebagai presiden pertama yang dipilih menerusi proses demokrasi dan pilihan raya dalam sejarah negara itu.

Sementara itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu yang juga sekutu rapat Erdogan kini disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk jawatan perdana menteri yang baru.

Lain-lain calon termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Ali Babacan dan juga pengasas AKP, Bulent Arinc yang sebelum ini adalah juga timbalan perdana menteri.

Erdogan, 60, berhasrat untuk mengubah perlembagaan negara itu bagi membolehkan presiden memiliki beberapa kuasa eksekutif tertentu dan bergerak aktif sebagai ketua negara.

Tags / Kata Kunci: Erdogan , Turki , AKP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan