Debaran Berdepan Konflik Ukraine

Diterbitkan: Selasa, 22 Julai 2014 10:27 AM

(Ubah saiz teks)

DONETSK: Kedatangan kami ke bandar ini penuh dengan rasa bimbang, mungkin sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Tambah gusar apabila kami diberitahu mengenai pertempuran yang berterusan, rusuhan dan ketegangan yang berlaku di sini.

Sememangnya ada kebenaran kata-kata amaran itu. Kedengaran gema bunyi tembakan sebaik sahaja kami tiba di stesen kereta api Donetsk selepas melalui perjalanan selama empat jam ke timur Ukraine.

Kelihatan orang awam bertempiaran lari mencari perlindungan. Apabila tiba di sini, kami berdepan dengan konflik yang semakin meruncing, satu keadaan yang mungkin menyukarkan bagi kumpulan penyiasat untuk memasuki lokasi nahas MH17 di mana tentera Ukraine memulakan serangan baharu terhadap pemberontak pro-Rusia.

Tidak lama selepas itu, kereta api tiba di stesen Donetsk dan tentera dari Republik Rakyat Donetsk (DPR) berlari mengiringi kami dan penumpang lain ke terowong bawah tanah berdekatan.

Lebih 100 orang awam berada di situ, berdiri ketakutan mendekati dinding apabila bunyi tembakan kedengaran dari luar. Tentera DPR berdiri dekat dan menjerit kepada orang awam supaya bertenang sementara penembak hendap memeriksa bangunan untuk mengesan tanda kehadiran anggota tentera.

Kami tidak melihat lelaki bersenjata lain. Berdasarkan perbualan dengan penduduk tempatan, lelaki bersenjata itu adalah dari pasukan tentera Ukraine.

Tentera DPR berdiri mengawal di mana penumpang kereta api menunggu di dalam terowong bawah tanah di stesen kereta api Donetsk bagi menunggu keadaan reda tanpa bunyi tembakan. Foto KAMARUL ARIFFIN / THE STAR

Kemudian, tentera DPR menyediakan bas untuk orang awam, menjerit dengan menyatakan wanita dan kanak-kanak perlu menaiki kenderaan itu terlebih dahulu.

Sewaktu kumpulan pertama bergegas ke arah bas, kami dapat mendengar lagi gema bunyi tembakan, menyebabkan ramai kembali berlari ke arah terowong bawah tanah.

Beberapa minit kemudian, keadaan reda seketika dan lebih banyak bas tiba di stesen kereta api. Kami berlari pantas ke arah bas dan menaiki kenderaan itu yang kemudiannya membawa kami ke hotel penginapan di pusat bandar.

Ketika diturunkan di satu simpang, kelihatan tentera DPR membawa kereta kebal dan kenderaan berperisai untuk bertempur.

Ia merupakan suasana berbeza dari Dnepropetrovsk, sebuah bandar yang paling hampir dengan lapangan terbang antarabangsa ke Donetsk, kira-kira 300 kilometer dari sini.

Di sana, dalam wilayah yang dikuasai kerajaan Ukraine, keadaan lebih aman, dengan tiada pertempuran yang berlaku seperti yang dialami di sini. Rakyat di Dnepropetrovsk bagaimanapun dilihat tidak mempunyai sentimen yang sama seperti saudara mereka di Donetsk.

Penduduk Ukraine bersembunyi di terowong bawah tanah dekat stesen kereta api Donetsk.

Kami kini dalam perjalanan ke lokasi nahas di mana pesawat syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 terhempas di sebuah bandar kecil, Grabovo pada 17 Julai lalu.

Untuk ke kawasan itu, kami perlu pergi jauh ke kawasan Donbass di Ukraine, sebuah wilayah yang menjadi perebutan antara tentera Ukraine dan beberapa kumpulan pemberontak.

Sebelum meninggalkan Dnepropetrovsk, kami bertemu dengan Raed, pelajar warga Syria yang menuntut di Ukraine selama lima tahun.

Dia kemudian berbicara mengenai kawasan yang menjadi pertikaian kedua-dua pihak itu. “Di sana, mereka berpihak kepada Rusia.

Mereka fikir mereka adalah sebuah negara berbeza. Apabila anda pergi ke sana, ia merupakan sebuah negara yang lain,” katanya.

Ia benar-benar menjadi perbalahan dua wilayah di mana pesawat malang MH17 menjadi mangsa keadaan, dan penyiasat masih terlalu jauh untuk menyiasat punca sebenar insiden berkenaan.

Tags / Kata Kunci: MH17 , Ukraine

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan