Thailand Tangani Isu Pekerja Asing

Diterbitkan: Isnin, 7 Julai 2014 11:24 PM

(Ubah saiz teks)

SAMUTPRAKARN: Thailand sedang menangani isu pekerja asingnya dengan menubuhkan lebih banyak Pusat Khidmat Sehenti untuk mendaftar pekerja pendatang haram di beberapa wilayah dan melalui kerjasama rapat dengan jirannya, Kemboja, Myanmar dan Laos.

Pada Isnin, Bangkok membuka sebuah pusat di wilayah Samutprakarn dan akan membuka pusat seperti itu di sekurang-kurangnya enam wilayah utama untuk mendaftar pekerja migran haram di Thailand bagi menangani masalah pemerdagangan manusia.

Gabenor Samutprakarn Pinit Harnpanit berkata pusat itu yang dibuka di wilayah itu pada Isnin dijangka mendaftar kira-kira 1,200 pekerja sehari atau kira-kira 50,000 pekerja asing tanpa izin untuk tempoh mulai Isnin hingga 5 Ogos.

Ketika bercakap dalam sidang media, beliau menganggarkan 30,000 pekerja dari Myanmar, 15,000 dari Kemboja dan 5,000 dari Laos akan mendaftar dalam tempoh itu.

Pendaftaran itu akan membolehkan pekerja menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik seperti kebajikan dan keistimewaan lain.

Ketujuh-tujuh wilayah berkenaan dipilih sebagai lokasi pusat khidmat merupakan kawasan utama ekonomi yang menempatkan beberapa kawasan perindustrian dan industri pelancongan.

Selain Samutprakarn (terletak dekat Bangkok), wilayah lain ialah Chacheong-Sao, Chonburi, Rayong, (di bahagian timur Thailand), Ayuthaya (bahagian tengah Thailand), Suratthani dan Songkhla (di selatan Thailand).

Sebelum ini, pusat yang serupa ditubuhkan di keempat-empat sempadan kekal antara Thailand dan Kemboja, dan di wilayah Samutsakorn (bahagian tengah Thailand), yang menjadi lokasi industri perikanan dan kilang makanan beku.

Thailand bertindak pantas untuk menangani masalah pekerja asing tanpa izin di negara itu selepas kebimbangan disuarakan dalam Laporan mengenai Pemerdagangan Manusia yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat baru-baru ini.

Disebabkan apa yang dianggap sebagai masalah serius, Thailand diletakkan di Peringkat III dalam Laporan itu dan dengan itu menghadapi kemungkinan sekatan oleh Amerika Syarikat yang boleh memberi kesan kepada eksportnya.

Bagi menunjukkan betapa seriusnya dalam menangani isu itu dan mendapat kerjasama sumber utama tenaga pekerja itu, pihak berkuasa Thailand mengundang diplomat tertinggi dari Kemboja, Myanmar dan Laos melawat pusat itu di Samutprakarn.

Duta Bounkham dari Laos, Duta Eat Sophea dari Kemboja dan Duta U Win Maung dari Myanmar melawat pusat itu pada Isnin.

Duta Bounkham memuji dan mengucapkan terima kasih kepada junta tentera Thailand kerana menubuhkan pusat itu yang menjalankan pendaftaran dalam masa hanya 45 minit.

Beliau berkata pusat berkenaan juga boleh mengatasi banyak masalah seperti pemerdagangan manusia dan penderaan atau mengambil kesempatan terhadap pekerja.

Duta Eat Sophea berkata beliau yakin pusat itu dapat mengatasi masalah penyeludupan pekerja.

Sementara itu, Duta U Win Maung meminta majikan dan pekerja Myanmar mendaftar di pusat itu demi kepentingan mereka.
Tags / Kata Kunci: Thailand , pekerja asing

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan