Singapura Diletak Pada Tahap 2 Laporan Pemerdagangan Manusia AS

Diterbitkan: Sabtu, 21 Jun 2014 11:34 PM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Singapura diletakkan pada Tahap 2 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2014 yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat, lapor stesen televisyen tempatan, Channel NewsAsia (CNA). 

Ada empat peringkat yang negara-negara boleh diletakkan Tahap 1 iaitu ranking tertinggi; Tahap 2; Tahap 2 'Pemantau', dan Tahap 3.

Ini kali keempat berturut-turut Singapura diletakkan pada Tahap 2.

CNA melaporkan bahawa Pasukan Petugas Antara Agensi mengenai Pemerdagangan Manusia Singapura berkata dalam satu kenyataan pada Sabtu bahawa ia akan mengkaji laporan itu secara terperinci.

Dalam laporannya, Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata sebagai negara pada Tahap 2, kerajaan Singapura tidak mematuhi standard minimum bagi membanteras pemerdagangan manusia tetapi melakukan usaha yang signifikan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, laporan itu menarik perhatian bahawa tiada pihak yang memperdagangkan pekerja didakwa atau disabitkan kesalahan dan kerajaan Singapura terus menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti dan mengumpul bukti dalam kes-kes pemerdagangan.

Antara syor bagi Singapura dalam laporan itu adalah meningkatkan penyiasatan dan pendakwaan bagi kesalahan pemerdagangan, meningkatkan latihan kepakaran bagi pegawai barisan hadapan untuk mengenal pasti pemerdagangan seks dan pekerja, dan menyediakan dana kepada semua rumah perlindungan bukan kerajaan yang memberi perlindungan kepada mereka yang mungkin menjadi mangsa pemerdagangan.

Dalam responnya, CNA berkata Pasukan Petugas Antara Agensi Singapura berkata walaupun ia mengakui dan menyambut baik usaha Amerika Syarikat untuk menerbitkan laporan tahunan yang mengetengahkan isu global yang penting, ia tetap berpandangan bahawa Amerika Syarikat perlu mengamalkan kaedah lebih objektif dalam edisi akan datang. 

"Ini akan memastikan bahawa standard yang konsisten, telus dan boleh diukur meliputi semua negara dengan mengambil kira struktur perundangan yang berbeza dan konteks domestik negara yang diliputi dalam laporan itu," jelasnya.

Pasukan petugas itu juga menarik perhatian tentang kemajuan signifikan yang dicapai dalam melaksanakan Pelan Tindakan Kebangsaan untuk memerangi pemerdagangan manusia melalui pencegahan, pendakwaan dan perkongsian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan