Pilihan Raya Afghanistan Tetap Dijalankan Walau Berdepan Ancaman Taliban

Diterbitkan: Sabtu, 14 Jun 2014 1:31 PM

Sebahagian daripada pengundi di Afghanistan menunjukkan kad pendaftaran undi selepas membuang undi di Kunduz, Afghanistan, Sabtu.

(Ubah saiz teks)

KABUL: Afghanistan tidak mempedulikan ancaman Taliban dengan mengadakan pilihan raya Presiden pusingan kedua pada Sabtu.

Taliban mendakwa bertanggungjawab terhadap letupan dua roket berhampiran lapangan terbang Kabul sebaik sahaja proses pilihan raya dibuka, tetapi pegawai-pegawai Afghanistan dan NATO berkata tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Pilihan raya diadakan bagi membuat keputusan sama ada bekas menteri luar Abdullah Abdullah atau bekas pakar ekonomi di Bank Dunia, Ashraf Ghani akan membawa negara ke era baru tanpa bantuan tentera antarabangsa dan awam.

Presiden Hamid Karzai akan melepaskan jawatan selepas memerintah negara sejak tahun 2001, apabila serangan yang diketuai AS menggulingkan rejim Taliban yang dikatakan memberi perlindungan kepada militan Al-Qaeda di sebalik serangan 9/11.

"Kami amat berbangga untuk memilih calon kegemaran kami," kata Karzai selepas mengundi.

"Hari ini Afghanistan berada dalam satu tempoh peralihan ke arah kedamaian dan kestabilan yang berpanjangan."

Pegawai Afghanistan dan sekutu antarabangsa berharap untuk mengulangi situasi ketika undian pusingan pertama pada bulan April, apabila pemberontak gagal untuk melancarkan serangan berprofil tinggi dan peratusan keluar mengundi melebihi 50 peratus.

Tetapi Taliban masih menyatakan ancaman khas tertentu terhadap pusat-pusat pengundian dan kebimbangan yang meluas terhadap penipuan pilihan raya yang boleh menyebabkan keputusan dipertikai.

Abdullah memperoleh 45 peratus undi pada undi pusingan pertama dan Ghani 31.6 peratus, selepas siasatan terhadap tuntutan penipuan dari kedua-dua belah pihak dijalankan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan