Asean Komited Perangi Pemerdagangan Manusia - Berita Dunia | mStar

Asean Komited Perangi Pemerdagangan Manusia

Diterbitkan: Khamis, 5 Jun 2014 3:15 PM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Draf  Konvensyen Asean mengenai Pemerdagangan Manusia (ACTIP) dan Pelan Tindakan Serantau (RPA) dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Setelah diterima, ACTIP akan menjadi mercu kejayaan Asean dan 10 negara anggotanya kerana ia mencerminkan perpaduan serantau dan kesatuan dalam memerangi penyeludupan manusia, kata kenyataan Sekretariat Asean yang dikeluarkan di Yangoon.

Jawatankuasa Pusat mengenai Pembanterasan Penyeludupan Manusia (CCTP) Kesatuan Myanmar menjadi tuan rumah Mesyuarat Kumpulan Pakar Ke-6 mengenai ACTIP dan RPA dari 3-5 Jun di Yangoon.

Mesyuarat dihadiri kesemua negara anggota Asean dan Sekretariat Asean.

Brigadier Jenaral Polis, Thein Oo selaku Timbalan Ketua Polis Kementerian Dalam Negeri Myanmar merasmikan persidangan yang menekankan penyeludupan manusia merupakan jenayah merentasi sempadan kedua di dunia selepas penyeludupan dadah.

Beliau berkata, bagi mencapai keadilan, asas undang-undang yang kukuh dan sistem perundangan yang diperkukuh adalah perlu.

"Juga penting mangsa penyeludupan tidak dilayan seperti pendatang biasa dan dihantar pulang atau didenda dengan kesalahan jenayah sebelum mereka dikenal pasti sebagai mangsa lagi," katanya.

Sejak 2007, Asean telah membangunkan konvensyen untuk mencapai rangka kerja yang dipersetujui bersama negara anggota mengenai siasatan dan pendakwaan berhubung penyeludupan manusia.

Ia juga bertujuan menyediakan bantuan kepada mangsa demi keselamatan mereka untuk kembali, dipulihkan dan diintegrasi dalam masyarakat, antara lainnya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan