Pesawat Singapore Airlines Tergelincir Ketika Mendarat, Tiada Kecederaan

Diterbitkan: Khamis, 22 Mei 2014 1:34 PM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Sebuah pesawat Singapore Airlines tergelincir di landasan ketika mendarat semasa hujan lebat di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon, Myanmar, tetapi tiada kecederaan dilaporkan, lapor syarikat penerbangan itu, Khamis.

Pesawat Airbus A330 "berdepan hujan lebat dan terpesong sedikit dari landasan ketika melakukan pendaratan" yang dijadualkan mendarat pada pukul 9.20 pagi (0250 GMT), Rabu, sebelum ia dikawal kembali dengan selamat, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

"Pesawat itu telah ditunda dan penumpang diarahkan keluar dari pesawat seperti biasa," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan, sambil menambah pesawat ganti telah dihantar ke Yangon untuk penerbangan pulang.

Pesawat penerbangan harian SQ998 ke Myanmar itu membawa 265 penumpang dan anak kapal, kata syarikat penerbangan itu kepada AFP.

Pada 9 Mei, sebuah pesawat superjumbo Airbus A380 penerbangan ke Hong Kong yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan itu terpaksa berpatah balik ke Singapura selepas juruterbang menerima amaran mengenai masalah pintu kargo.

Pada Januari, salah sebuah pesawat A380 syarikat penerbangan yang sama terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Azerbaijan selepas mengalami penurunan tekanan kabin.

Singapore Airlines mempunyai 19 pesawat A380 dengan lima yang lain telah ditempah, beroperasi dari Singapura ke pelbagai destinasi termasuk Hong Kong, Frankfurt, London dan Los Angeles.
Tags / Kata Kunci: Singapore Airlines , tergelincir , Yangon , SQ998

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan