Tragedi Feri Dorong Kerajaan Korea Selatan Rombak Jabatan Pengawal Pantai

Diterbitkan: Isnin, 19 Mei 2014 3:46 PM

Kakitangan Jabatan Pengawal Pantai Korea Selatan bersiap sedia melancarkan gerakan mencari dan menyelamat dalam tragedi feri karam pada April lalu. Jabatan itu kini akan dibubarkan ekoran kejadian itu.

(Ubah saiz teks)

SEOUL: Korea Selatan bercadang untuk merombak Jabatan Pengawal Pantai sebagai reaksi kepada insiden feri karam yang mengorbankan hampir 300 nyawa - kebanyakkannya pelajar-pelajar sekolah baru-baru ini.

Presiden Kores Selatan, Park Geun-hye ketika mengumumkan demikian berkata, sebuah Jabatan Keselamatan Laut akan diwujudkan yang bertanggungjawab ke atas semua aspek mencari dan menyelamat manakala tugas penyiasatan akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Jabatan Polis.

Ucapannya itu yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen Korea turut memohon maaf kepada seluruh ahli keluarga rakyat Korea yang terkorban dalam insiden itu.

Tragedi Feri Sewol pada 16 April lalu mengorbankan 286 penumpang manakala 18 lagi masih hilang. Seramai 172 penumpang berjaya diselamatkan termasuk 22 daripada 29 anak kapal.

"Pada akhirnya, pertanggungjawaban penuh ke atas tragedi ini termasuk kelewatan melakukan kerja-kerja menyelamat jatuh di atas bahu saya," kata Park.

Katanya lagi, Jabatan Pengawal Pantai telah gagal untuk memenuhi tanggungjawab asalnya dan seandainya mereka dengan pantas bertindak melakukan operasi menyelamat selepas kemalangan itu, banyak nyawa lagi yang boleh diselamatkan.

Adalah amat jelas katanya, dalam situasi semasa, seandainya satu lagi tragedi besar berlaku, Jabatan Pengawal Pantai tidak akan dapat menangani apa yang berlaku dengan segera.

"Masalahnya ialah, Jabatan ini telah berkembang menjadi sebuah jabatan yang besar tetapi tidak memiliki jumlah kakitangan yang mencukupi ekoran bajet yang tidak seimbang yang diperuntukkan kepada keselamatan maritim, latihan menyelamat dan banyak lagi," kata presiden wanita Korea yang pertama itu.

Siasatan awal ke atas tragedi itu mendapati, feri itu telah membawa jumlah muatan tiga kali melebihi had yang dibenarkan dan pusingan tajam yang dilakukannya telah menyebabkan feri itu menjadi tidak stabil lalu terbalik dan tenggelam.

Selepas kejadian itu pihak berkuasa bukan sahaja menahan pengendali feri itu malah turut menahan kakitangan sebuah syarikat lain yang bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas feri berkenaan.

"Ini adalah sebuah feri yang berusia 20 tahun tetapi telah diubahsuai untuk membolehkannya membawa muatan yang lebih, kemudian ia telah dimuatkan dengan jumlah kargo melebihi had yang dibenarkan dengan rekod jumlah muatan yang dipalsukan, tetapi tidak ada seorang pun yang dipertanggungjawabkan mengawal selia semua ini melakukan tugas dan tanggungjawab mereka," jelas Park.

Sehubungan dengan itu, kerajaannya bercadang untuk mengenakan peraturan lebih ketat ke atas bekas kakitangan awam yang bersara daripada menyertai sektor swasta yang berkaitan dengan tugas mereka sebelum ini kerana mereka telah membentuk satu rangkaian 'mesra' dengan pihak regulator yang sepatutnya mengawal selia tugas mereka ekoran pertalian dan hubungan yang mereka ada ketika berkhidmat dengan kerajaan sebelum itu.

Presiden itu juga turut mencadangkan agar satu jawatankuasa tetap diwujudkan untuk melihat kepada faktor-faktor korupsi dan juga  peraturan yang tidak teratur di dalam insiden berkenaan.

Kapten feri berkenaan bersama-sama tiga kakitangan yang lain telah ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh tanpa niat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan