Gila, Atuk Berusia 62 Tahun Fail Saman AS$2 Undesilion

Diterbitkan: Isnin, 19 Mei 2014 7:22 PM

Jumlah Dolar Amerika yang wujud di muka bumi ini tidak memadai untuk membayar saman seorang atuk yang berusia 62 tahun yang menyaman Bandar Raya New York jika dia ditakdirkan menang.

(Ubah saiz teks)

> Ia adalah saman sivil terbesar di dunia

> Saman difailkan oleh seorang datuk berusia 62 tahun di Mahkamah Persekutuan Manhattan NY

> Saman tersebut bernilai Dua Undesilion Dolar dengan 33 digit kosong di belakang angka 2

> Jumlah yang dipohonnya itu melebihi nilai keseluruhan mata wang yang wujud di muka bumi

> Saman itu ditulis dengan tangan

NEW YORK: Seorang pemastautin di bandar raya terbesar dunia ini telah memfailkan saman sivil di Mahkamah Persekutuan Manhattan, di sini pada 11 April lalu menuntut ganti rugi terbesar di dunia iaitu sebanyak Dua Undesilion Dolar (AS$2,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000) selepas jarinya digigit oleh seekor anjing.

Anton Purisima, 62, telah mengemukakan saman tersebut dengan menamakan pelbagai pihak sebagai defendan termasuk Datuk Bandar New York, dan Pasar Raya Kmart.

Dalam fail saman setebal 22 muka surat yang ditulis dengan tangan itu, Purisima menyatakan yang dia akan mewakili dirinya sendiri tanpa bantuan seorang peguam.

Purisima mendakwa bahawa jari tengahnya telah digigit oleh seekor anjing yang disyaki mengidap penyakit anjing gila ketika sedang menaiki sebuah bas milik perbandaran New York sebelum gambarnya sedang mendapat rawatan di sebuah hospital dirakamkan oleh pasangan berketurunan Cina.

Dia juga mengemukakan saman kerana merasakan yang dirinya sering dicaj berlebihan ketika minum kopi di Lapangan Terbang LaGuardia.

Saman itu menyebut bahawa kesakitan dan kesengsaraan yang dihadapinya ‘tidak dapat ditukar ganti dengan wang’ dan oleh yang demikian 'tidak ternilai harganya.’

Turut dimasukkan sebagai eksibit di dalam samannya itu ialah foto jarinya yang berdarah kerana digigit anjing.

Purisima juga mendakwa yang dia telah mengalami pencabulan ke atas hak-hak kemanusiaan, kecederaan pribadi, diskriminasi ke atas asal usulnya, penentangan, pencabulan, penipuan, percubaan untuk membunuh, distres emosi pribadi yang disengajakan dan konspirasi penipuan.

Senarai orang dan organisasi yang disamannya berjela-jela tetapi antaranya termasuklah Carepoint Health, Pusat Perubatan Hoboken University, Setor Kmart, Jabatan Kecemasan St Luke, Pihak Berkuasa Transit Bandar New York, Bandar Raya New York dan Pentadbiran Lapangan Terbang LaGuardia.

Ini juga bukanlah fail saman Purisima yang pertama. Dalam tempoh empat tahun dia telah mengemukakan saman terhadap Republik Rakyat China, institusi kewangan seperti Wells Fargo, JP Morgan dan Wachovia serta Pesuruhjaya Sekuriti Sosial.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan