Aburizal Bebas Tanding Presiden Atau Naib Presiden

Diterbitkan: Ahad, 18 Mei 2014 10:45 PM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Ketua Umum Parti Golongan Karya (Golkar), Aburizal Bakrie bebas menentukan masa depan politiknya sama ada bertanding jawatan presiden atau naib presiden pada Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden, 9 Julai depan.

Perkara itu disahkan Aburizal berdasarkan keputusan mesyuarat pimpinan nasional (Rapimnas) parti Golkar kali keenam di sini hari ini, yang memutuskan beliau berhak berbuat demikian.

"Ada tiga keputusan diperoleh dari Rapimnas Parti Golkar hari ini. Keputusan pertama adalah tetap menentukan Aburizal sebagai calon presiden atau calon naib presiden dari parti Golkar.

"Keputusan kedua adalah memberi kuasa dan mandat kepada Aburizal untuk mengambil pendekatan politik dalam menentukan arah pakatan Parti Golkar dan ketiga, kesemua keputusan rapimnas sebelum ini yang berkaitan Pemilu Presiden 2014 tidak terpakai," katanya.

Berdasarkan Rapimnas itu, Aburizal diberi lebih ruang dalam menentukan kedudukan politiknya kerana sebelum ini, beliau hanya diberi mandat sebagai calon presiden dan tidak memiliki kuasa memutuskan arah pakatan Parti Golkar.

Aburizal berkata keputusan yang dibuat secara sebulat suara itu diperoleh setelah mendengar pandangan pemimpin Golkar pada mesyuarat berkenaan.

"Saya bersyukur semuanya diputuskan secara musyawarah muafakat dan tanpa undian," katanya.

Ditanya arah pakatan Parti Golkar, beliau berkata perkara itu belum dapat dipastikan namun menegaskan bahawa parti berkenaan ingin terbabit dalam usaha membangunkan pemerintahan yang kukuh dan efektif.

Sebelum ini, selain Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pimpinan bekas presiden Indonesia Megawati Soekarnoputri, Aburizal mengadakan pertemuan dengan Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dan parti lain.

Namun sehingga kini, Golkar yang menduduki tempat kedua di belakang PDI-P pada Pemilu Parlimen 9 April lepas, belum menjalin pakatan dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi Pemilu Presiden.
Tags / Kata Kunci: Pemilu , Aburizal Bakrie , Golkar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan