Yingluck Kini Hadapi Tuduhan Cuai Urus Subsidi Beras

Diterbitkan: Khamis, 8 Mei 2014 10:12 PM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Yingluck Shinawatra yang dilucutkan jawatan sebagai perdana menteri oleh Mahkamah Perlembagaan semalam, pada Khamis didapati bersalah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC) terhadap pertuduhan cuai menjalankan tugas berhubung skim subsidi beras.

NACC memperakukan supaya pertuduhan terhadap Yingluck berdasarkan peranannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Dasar Beras Kebangsaan, bertanggungjawab bagi skim subsidi yang menyaksikan kerajaan membeli beras petani lebih tinggi daripada harga pasaran.

Yingluck sekarang menghadapi undian pemecatan di Senat dan jika didapati bersalah, beliau dilarang menyertai politik selama lima tahun.

Keputusan hari ini hanya untuk proses pendakwaan di Senat sementara prosedur jenayah akan diteruskan secara ketelitian dan ketelusan, menurut NACC.

NACC memutuskan untuk mendakwa Yingluck berdasarkan keputusan sebulat suara 7-0, menyatakan beliau mempunyai niat untuk menyalahgunakan kuasa yang melanggar perlembagaan berkaitan pelaksanaan dasar.

Menurut NACC, Yingluck mengaku tahu tentang rasuah dalam skim itu semasa prosiding tetapi beliau tidak mengambil tindakan yang dianggap sebagai kecuaian.

Siasatan agensi pencegah rasuah itu menemukan bukti tentang rasuah yang berleluasa dalam skim itu.

Kerajaan masih berhutang berbilion-bilion Baht dengan petani dan menyimpan lambakan beras yang tidak terjual di seluruh negara.

NACC membuat keputusan itu sehari selepas Mahkamah Perlembagaan melucutkan jawatan Yingluck dan sembilan daripada anggota Kabinetnya dalam kes berasingan membabitkan pertukaran Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan Thawil Pliensri.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan