Serangan Bom Hatyai Angkara Kumpulan Pemisah - Polis

Diterbitkan: Rabu, 7 Mei 2014 10:34 PM

(Ubah saiz teks)

HATYAI: Pihak polis di selatan Thailand hari ini mengesahkan dua serangan bom di bandar Hat Yai petang semalam dilakukan empat anggota kumpulan pemisah.

Ketua Polis Wilayah Songkhla, Mej Jen Akapop Prasitwattanachai berkata ia berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) yang merakamkan pergerakan suspek.

Katanya kumpulan berkenaan juga ada kaitan dengan pengeboman di Dannok Sadao pada hujung tahun lepas dan menjadi rangkaian yang bergerak di tiga wilayah di selatan.

"Satu daripada serangan itu semalam, suspek membawa kereta yang telah dipasang bom ke tempat letak kereta di Balai Polis Hat Yai pada 1.04 tengah hari dan suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal rakannya yang sedang menunggu di luar.

"Lebih kurang 50 minit kemudian, bom meletup," katanya ketika menjelaskan insiden berkenaan hari ini sebelum mempengerusikan mesyuarat bersama anggota keselamatan bagi membincangkan perkara itu.

Akapop berkata satu lagi serangan berlaku di hadapan sebuah kedai runcit menggunakan motosikal yang dipasang bom.

Katanya kereta dan motosikal itu merupakan kenderaan curi.

"Kereta itu adalah kereta yang dicuri selepas pemiliknya dibunuh di kawasan daerah Saiburi, Pattani pada 9 April lepas, sementara motosikal itu dicuri di daerah Maelan, Pattani," katanya.

Wang hadiah 100,000 baht ditawarkan kepada sesiapa yang boleh membantu polis mengesan kesemua suspek.

Sementara itu, antara isu yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan mengenai perisikan dan siasatan serta tindakan kawalan keselamatan khasnya di zon ekonomi dan pelancongan.

Akapop berkata pihak polis, tentera dan sukarelawan bekerjasama meningkatkan kawalan keselamatan di bandar utama seperti di Muang Songkhla, Hat Yai dan Sadao bagi memastikan keselamatan rakyat dan pelancong terjamin.
Tags / Kata Kunci: Thailand , Bom Hatyai

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan