Bilik Kecemasan Hospital Di Jeddah Ditutup Akibat Virus MERS

Diterbitkan: Selasa, 8 April 2014 10:18 PM

mers k

Seorang rakyat Arab Saudi memakai topeng muka di Jeddah sebagai langkah pencegahan daripada wabak virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS). Foto guardianlv.com

(Ubah saiz teks)

JEDDAH (Arab Saudi): Hospital awam di bandar Jeddah di Arab Saudi menutup bilik kecemasannya selepas kes virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) meningkat di kalangan kakitangan perubatan, kata pihak perubatan pada Selasa.

Seorang pegawai paramedik Jeddah merupakan antara dua kakitangan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi dilaporkan pada Ahad telah meninggal dunia berikutan wabak yang menyerupai virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Ia menjadikan jumlah kematian di negara itu meningkat kepada 66 orang.

Pada Isnin, Kementerian Kesihatan melaporkan empat lagi kes MERS di Jeddah, dengan dua daripada mereka merupakan pegawai kesihatan, sekali gus menyebabkan penutupan bahagian kecemasan di Hospital King Fadh di bandar itu.

Satu sumber perubatan memberitahu AFP bahawa ia merupakan langkah pencegahan dan laman web Sabq.org.news melaporkan bahawa para pesakit dipindah ke hospital-hospital lain di bandar itu. 

Jumlah kes MERS di Arab Saudi mencecah 175 kes sejak virus itu pertama kali melanda negara itu pada September 2012. - AFP


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan