Prabowo Tidak Malu Digelar 'Pemimpi'

Diterbitkan: Jumaat, 4 April 2014 10:04 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Ketua Dewan Pembina Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) Prabowo Subianto mengakui bangga dan tidak malu jika ada pihak menggelarnya 'pemimpi'.

"Saya tidak malu dikatakan sebagai tukang mimpi kerana yang saya impikan itu tentang menjadikan Indonesia negara terhormat, disegani bangsa lain, berdikari, dan bukan bangsa yang boleh diperleceh bangsa lain," katanya seperti dipetik agensi berita Antara, Khamis.

Prabowo, yang juga calon presiden dari parti Gerindra, berkata demikian di depan ribuan penyokongnya ketika mengadakan kempen terbuka Pemilihan Umum(Pemilu) 2014 di Lapangan Pancasila, Simpang Lima Semarang.

Dalam kempen itu, Prabowo sekali lagi menegaskan akan memperkuat peranan Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK), jika terpilih menjadi Presiden Indonesia.

"Saya mungkin satu-satunya calon presiden yang menyatakan bila menerima mandat dari rakyat untuk menjadi presiden, saya akan melipatgandakan peranan KPK dalam membanteras rasuah sampai ke akarnya," kata beliau.

Sebelum ini, daripada 34 gabenor di seluruh Indonesia, 18 terlibat dengan gejala rasuah, begitu juga dengan 138 datuk bandar dan pegawai daerah.

Dalam pada itu, Prabowo mendakwa Gerindra merupakan satu-satunya parti politik yang mempunyai program tertulis dan strategi baharu untuk pembangunan bangsa Indonesia pada masa depan.

"Dalam strategi tersebut, kita akan wujudkan jutaan sawah baharu untuk rakyat dan petani, kita akan ciptakan puluhan juta pekerjaan baharu untuk rakyat kita," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan