Ahli Keluarga Penumpang MH370 dari China Buat Bantahan Di Kedutaan Besar Malaysia Di Beijing

Diterbitkan: Selasa, 25 Mac 2014 7:43 PM

Anggota polis pencegah rusuhan mengawal dan membuat sekatan ke laluan masuk Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China pada Selasa, 25 Mac.

(Ubah saiz teks)

BEIJING: Ahli keluarga penumpang MH370 dari China dengan penuh emosi cuba untuk merempuh masuk ke Kedutaan Besar malaysia di sini pada Selasa sambil melaungkan kata-kata kecaman ke atas duta besar, menuntut agar mereka diberi jawapan mengenai punca nahas pesawat berkenaan di selatan Lautan Hindi.

Mereka juga mahu menuntut bukti yang mengatakan pesawat itu telah terhempas dan bukannya masih hilang.

Sebahagian besar ahli keluarga daripada 153 warga China yang merupakan penumpang pesawat berkenaan enggan menerima hakikat yang ahli keluarga mereka telah meninggal dunia dalam insiden yang berlaku 17 hari yang lalu itu.

Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) itu membawa 239 orang penumpang sepatutnya dalam perjalanan ke ibu kota China ini pada 8 Mac lalu apabila tiba-tiba ia berpatah balik sebelum memasuki ruang udara Vietnam menyeberangi semenanjung Malaysia menuju ke arah Selat Melaka.

Selepas 17 hari hilang dari radar, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman pada malam Isnin yang pihak berkuasa dan para pakar dari luar negara telah membuat kesimpulan hasil daripada data satelit yang dianalisa merumuskan yang perjalanan pesawat malang tersebut berakhir di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi yang luas itu.

Bagaimanapun ahli keluarga mangsa pesawat itu dari China enggan menerima hakikat tersebut dan menuntut Kerajaan Malaysia memberikan bukti terperinci tentang rumusan yang dibuat tentang nasib MH370.

Mereka sebaliknya merempuh sekatan polis di hadapan Kedutaan Malaysia di sini dalam usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada duta besar Malaysia berhubung nasib pesawat berkenaan.

Mereka juga menuntut agar ahli keluarga mereka yang masih hilang bersama pesawat itu dikembalikan.

Sebelum bersurai, wakil ahli keluarga itu dilihat menghulurkan nota bantahan kepada pihak kedutaan.

Bagaimanapun, Duta Besar Malaysia ke China, Iskandar Sarudin kemudiannya tiba di hotel yang menempatkan ahli keluarga yang marah ini untuk berhadapan dengan mereka walaupun beliau dihamun dengan kata-kata kesat.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Yahya Jauhari berkata, pihaknya telah melakukan yang terbaik dalam memberi sokongan moral dan juga kewangan kepada ahli keluarga penumpang yang terlibat malah menempatkan staf yang mencukupi untuk memastikan masalah mereka ditangani dengan segera.

Najib dalam sidang akhbarnya pada Isnin tidak memberikan perincian mengenai titik di mana pesawat itu terhempas tetapi Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang akhbar petang Selasa menjelaskan yang satelit Inmarsat yang mengesan isyarat 'ping' dari pesawat MH370 berkenaan berjaya melakukannya untuk setiap jam sehingga ia lesap memantulkan semula isyarat berkenaan.

Bagaimanapun, Hishammuddin menerima hakikat yang ahli keluarga penumpang mahu melihat satu bukti yang nyata.

"Sehingga kita temui serpihan pesawat itu secara nyata adalah sukar untuk saya menyakinkan ahli keluarga berhubung konklusi yang kita buat ini," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan