Perintah Darurat Di Bangkok, Wilayah Berdekatan Perlu Ditarik Balik - Menteri

Diterbitkan: Rabu, 12 Mac 2014 9:40 PM

Salah satu keadaan protes di Bangkok, Thailand.

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Perintah darurat yang dikenakan di Bangkok dan wilayah berhampirannya patut ditarik balik kerana bukan semua peraturan di bawah perintah itu boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang, kata Menteri Buruh sementara Chalerm Yubumrung di sini Sabtu.

Menurut beliau, Mahkamah Sivil memutuskan pada 19 Februari bahawa kerajaan mempunyai kuasa untuk mengenakan perintah darurat dalam keadaan kritikal, tetapi tidak boleh menggunakannya untuk meleraikan bantahan secara aman dan tanpa menggunakan senjata.

"Saya sudah memaklumkan kepada majlis keselamatan negara bahawa perintah darurat perlu ditarik balik kerana keputusan yang dibuat mahkamah sivil menyebabkan Pusat Pemeliharaan Keamanan dan Ketenteraman Awam (CMPO) tidak dapat menguatkuasakan hampir kebanyakan perkara yang terkandung di dalam perintah itu," kata Chalerm, yang juga pengarah CMPO, pihak yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan perintah darurat.

"Lagi pun, jika ia terus dikuatkuasakan, orang asing akan mengkritiknya. Oleh itu, secara peribadi, saya berpendapat ia (perintah darurat) perlu ditarik balik," kata Chalerm kepada media di Kelab Sukan Polis di sini, yang dijadikan markas CMPO. 

Beliau bagaimanapun berkata terserahlah kepada Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra untuk membuat keputusan tentang perkara itu.

Mahkamah Sivil membuat keputusan itu selepas polis bertindak untuk mengosongkan tempat tunjuk perasaan tertentu di bandar raya ini, yang menyebabkan tercetus konfrontasi ganas dengan penunjuk perasaan.

Chalerm berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh dikuatkuasakan jika perintah darurat ditarik balik.

Perintah darurat dikenakan mulai 22 Januari dan berkuat kuasa selama 60 hari bagi kawasan meliputi Bangkok, wilayah Nontaburi, daerah Lat Lumkaew di Pratumthani dan daerah Bangphli di Sumutprakarn.
Tags / Kata Kunci: bangkok , protes , darurat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan