Liputan Meluas Kehilangan MH370 Di India, Sri Lanka

Diterbitkan: Selasa, 11 Mac 2014 8:44 PM

(Ubah saiz teks)

COLOMBO: Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) daripada skrin radar pada Sabtu lepas, mendapat liputan meluas akhbar di India dan Sri Lanka, sekalipun tidak putus-putus disertai teori berbentuk spekulasi dan pendapat pakar. 

Lima daripada 227 penumpang pesawat MH370 adalah rakyat India.

Media India, yang melaporkan maklumat terkini secara langsung berhubung perkembangan misi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai pelbagai negara, turut memberi tumpuan kepada urusan perjalanan yang diatur MAS kepada waris penumpang.

Pada 8 Mac, penerbangan MH370 terputus hubungan setelah pesawat Boeing 777-200ER berusia 11 tahun itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Beijing, China.

Akhbar Times of India melaporkan rakyat negara itu,Vinod Kolekar, 63, isteri Chetana, 59, dan anak lelaki mereka, Swanand, 23, antara penumpang pesawat berkenaan.

Mereka ke Beijing untuk percutian 10 hari bersama saintis Borivli, Sanved Kolekar, anak lelaki sulung pasangan itu, yang berpindah ke Beijing pada Disember 2013, untuk meneruskan penyelidikan pasca-kedoktoran.

Sanved dan isterinya, Tejashri, menaiki penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur pada Selasa bersama-sama lebih 100 lagi anggota keluarga penumpang pesawat yang hilang itu, menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris itu.

Keluarga N. Chandrika Sharma, 50, seorang daripada lima rakyat India, dilanda trauma sejak mengetahui tentang kehilangan pesawat berkenaan pada Sabtu.

"Setakat ini, kami hanya dimaklumkan bahawa pesawat itu hilang," akhbar Mumbai Mirror memetik rakan setugas dan kenalan keluarga itu, N. Venugopal sebagai berkata.

Seorang lagi rakyat India yang menaiki penerbangan itu ialah Kranti Pralhad Shirsath, 44, dari Pune, yang dalam perjalanan untuk bertemu suaminya, Prahlad, petugas sebuah badan bukan kerajaan di Pyongyang, Korea Utara, menurut akhbar itu.

Rumah Shirsaths di Khandoba Temple Road dekat Ramnadi diselubungi suasana muram ketika Mumbai Mirror menemu bual keluarga wanita itu yang tinggal bersama dua anak lelakinya, Yashwant, 11, dan Rahul, 16, serta ibu mertuanya, lapor akhbar itu. 

Ahad lepas, Kementerian Hal Ehwal Luar India mengumumkan akan memantau rapi perkembangan berkaitan pesawat yang hilang itu.

"Doa dan ingatan kami buat keluarga penumpang pesawat itu. Kami amat menghargai usaha kerajaan Malaysia untuk mengesan pesawat yang hilang," kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan.

Sementara itu di Colombo,Mirror Business, sebuah daripada akhbar harian perniagaan terulung di Sri Lanka, mengetengahkan fakta bahawa pesawat itu hilang sehari selepas pemeteraian sistem kabel bawah laut Asia Selatan-Timur Tengah-Eropah Barat-5 (SEA-ME-WE 5), merentasi kira-kira 20,000km dari Asia Pasifik ke Eropah menerusi Sri Lanka, dengan penyertaan 15 pengendali telekomunikasi terkemuka.

Laporan itu menarik perhatian bahawa kira-kira 10 peratus daripada penumpang pesawat MAS yang hilang itu adalah eksekutif tertinggi syarikat telekomunikasi.

Memetik agensi berita asing, akhbar itu berkata Naib Presiden Perancangan Rangkaian, Telecom Global China Hualian Zhang adalah seorang daripada penumpang itu.
Tags / Kata Kunci: colombo , india , sri lanka , mh370

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan