Insiden Pesawat MH370 Hilang Dapat Perhatian Presiden Susilo

Diterbitkan: Isnin, 10 Mac 2014 10:52 PM

Susilo Bambang Yudhoyono.

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing awal pagi Sabtu lepas, turut mendapat perhatian Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono.

Susilo berkata beliau sentiasa memantau perkembangan terkini usaha mencari dan menyelamat pesawat berkenaan yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, termasuk tujuh rakyat Indonesia.

"Saya sentiasa mengikuti laporan Menlu (Menteri Luar Negeri Indonesia) tentang hilangnya tujuh WNI (warganegara Indonesia) di pesawat MAS777-200 ke Beijing.

"Indonesia bersedia untuk bekerjasama dalam misi pencarian ini," kata Presiden Indonesia itu dalam tweetnya di akaun twitter @SBYudhoyono seperti dipetik agensi berita Antara pada Isnin.

Bagi pihak kerajaan Indonesia, Susilo berkata mereka melahirkan kebimbangan mendalam terhadap keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu, sambil berharap semua negara Asean akan mengambil bahagian dalam misi pencarian pesawat MAS yang hilang itu.

Beliau turut berharap usaha mencari pesawat MAS itu yang melibatkan beberapa negara Asean akan menjadi momentum dalam meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara-negara di rantau ini.

"Semoga momentum ini bisa (boleh) digunakan untuk meningkatkan persamaan, perdamaian dan kerjasama di kawasan Laut Cina Selatan untuk misi kemanusiaan," kata Susilo.

Pesawat MAS MH370 yang membawa 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan terputus hubungan pada pagi Sabtu, kira-kira 40 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang.

Pesawat itu dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Tags / Kata Kunci: Susilo , Indonesia , MH370

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan