Polis Mula Bersihkan Sebahagian Tapak Perhimpunan Di Bangkok

Diterbitkan: Sabtu, 15 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Polis memulakan operasi membersihkan beberapa tapak perhimpunan bantahan di sekitar bandar raya ini pada Jumaat selepas kebanyakan kumpulan penunjuk perasaan berpindah ke lokasi lain.

Operasi dilapor berlangsung tanpa insiden tidak diingini, namun tengah hari Jumaat seorang jurugambar akhbar tempatan berusia 30 tahun dan seorang penunjuk perasaan wanita berusia 50 tahun dilapor dibawa ke hospital selepas cedera terkena letupan bunga api yang dikenali sebagai 'ping pong bomb'.

Antara kawasan yang dibersihkan ialah berhampiran Government House yang menempatkan pejabat perdana menteri. Anggota polis dilihat mengalihkan beg-beg pasir yang diletak di atas jalan oleh penunjuk perasaan.

Selain itu mereka juga menemui beberapa 'ping pong bomb' di beberapa tapak perhimpunan penunjuk perasaan.

Sementara itu, sekumpulan penunjuk perasaan di Kompleks Kerajaan meneruskan aktiviti mereka dan melaung-laungkan kata-kata semangat sempena 'Macha Bucha Day' (Hari Buddha - Hari Keamanan), menyebabkan sepasukan polis antirusuhan digegaskan ke lokasi.

Bagaimanapun pasukan polis itu berundur menjelang tengah hari.

Ketika polis melaksanakan operasi pembersihan satu lagi kumpulan penunjuk perasaan menyasarkan ibu pejabat Polis Metropolitan Bangkok, namun mereka bersurai selepas tengah hari apabila polis bertindak membuka pintu pagar ke pekarangan bangunan, sebagai simbol bantahan balas.

Kumpulan penunjuk perasaan itu kemudian bergerak menyertai rakan mereka yang berhimpun di Kementerian Dalam Negeri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan