Thailand Adakan Pengundian Baru Di Tujuh Wilayah

Diterbitkan: Ahad, 9 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Thailand akan mengadakan pilihan raya baharu di sekurang-kurangnya tujuh wilayah selepas bantahan dalam pilihan raya 2 Februari yang penuh kontroversi mengakibatkan pengundian tidak dapat dijalankan di 10,284 daripada lebih 93,000 pusat pengundian di seluruh negara.

"Selepas 11 Februari kita akan tahu sama ada pilihan raya semula dapat diadakan melibatkan kurang atau lebih tujuh wilayah," kata pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Somchai Srisitthiyakorn, susulan mesyuarat suruhanjaya selama enam jam di sini Jumaat.

Tujuh wilayah yang dikenal pasti ialah Rayong, Yala, Pattani, Narathiwat, Petchabouri, Prachuab-Kirikhan dan Satul.

Somchai berkata SPR wilayah dan pengarah pilihan raya wilayah akan dijemput untuk membincangkan perkara itu pada 11 Februari.

SPR, katanya, akan mengutus surat kepada kerajaan sementara memohon supaya dikeluarkan dekri diraja baharu untuk mengadakan pilihan raya bagi 28 kerusi yang tidak mempunyai calon.

Somchai berkata pilihan raya tidak boleh diadakan di 28 kawasan itu sekiranya perkara berkaitan dekri masih belum jelas.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri sementara Phongthep Thepkanjana hari ini berkata dekri diraja baharu tidak perlu dikeluarkan untuk mengadakan pilihan raya bagi 28 kerusi itu.

Alasannya adalah setiap dekri diraja membolehkan SPR mengadakan pengundian sehingga kesemua kerusi diisi atau sekurang-kurangnya 95 peratus daripada 500 anggota parlimen dipilih supaya mesyuarat pertama dapat bersidang.

Terdapat kemungkinan nasib keputusan pilihan raya umum akan ditentukan Mahkamah Perlembagaan memandangkan kalangan yang menentang berkata ia tidak sah disebabkan pilihan raya tidak dapat diadakan pada hari sama.

Alasan mereka turut merangkumi parlimen tidak akan dapat mengadakan persidangan memandangkan 28 daripada kerusi itu kosong disebabkan tiada calon yang berdaftar untuk bertanding bagi kerusi berkenaan.

Oleh itu, ia tidak memenuhi keperluan mempunyai sekurang-kurangnya 95 peratus wakil rakyat yang dipilih untuk mengadakan mesyuarat pertama persidangan dewan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan