Pesawah Thailand Adakan Bantahan Tuntut Skim Subsidi

Diterbitkan: Jumaat, 7 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Pesawah Thailand yang kecewa tidak dibayar oleh kerajaan yang membeli beras mereka di bawah satu skim subsidi, menganjurkan bantahan di depan Kementerian Perdagangan pada Khamis.

Penanam padi itu juga memandu traktor dan lori mereka di depan bangunan kementerian itu untuk memberitahu pegawai bahawa kehidupan mereka terjejas berikutan kelewatan kerajaan membayar bagi beras yang dibeli itu.

Sebelum ini, mereka menunjuk perasaan di wilayah-wilayah termasuk dengan menyekat jalan raya, tetapi kini mereka datang ke ibu negara.

Bagaimanapun, masa berbulan-bulan diperlukan untuk menyelesaikan tuntutan itu kerana kerajaan yang ada kini berstatus sementara dan kuasanya amat terbatas serta tidak boleh membuat keputusan termasuk meminjam wang.

Masalah skim subsidi itu dinyatakan bekas Timbalan Perdana Menteri, Pridiyathorn Devakula dalam sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra pada Khamis.

Beliau berkata, kerajaan menetapkan bajet untuk pembelian beras 2013/2014 sebanyak 270 bilion baht.

Mengikut rancangan, Bank for Agriculture and Agricultural Co-operatives (BAAC) akan menerbitkan bon bernilai 140 bilion baht yang akan dijamin oleh Kementerian Kewangan, manakala baki 130 bilion baht akan dibayar daripada penjualan beras dalam stok tahun lalu.

"Hakikatnya, sejak kerajaan memngumumkan rancangannya pada Oktober 2013 kepada masa Parlimen dibubarkan pada Disember, bon 140 bilion baht dijamin oleh Kementerian Kewangan tidak diterbitkan," kata beliau.

Lebih buruk lagi sejak November 2013, Kementerian Perdagangan hanya dapat menjual beras mencapai 40 bilion baht berbanding sasaran 130 bilion baht.

Adalah dipercayai kerajaan yang kekurangan dana berikutan kegagalan menjual lebih 10 juta tan beras dalam simpanannya, berhutang kira-kira 120 bilion baht kepada penanam padi. Hutang itu untuk tujuh juta tan daripada 10 juta tan beras didaftarkan tahun lalu di bawah skim subsidi.

Kerajaan kini semakin tertekan apabila China baru-baru ini membatalkan kontrak untuk membeli lebih sejuta tan beras dari Thailand manakala bank pula enggan meminjamkan wang untuk membiayai skim berkenaan.

Penanam padi yang menyertai bantahan hari ini, Sunanta Jitsatta, 56, mendakwa kerajaan berhutang 350,000 baht kepadanya. Wang itu diperlukannya dengan segera untuk membiayai pengajian dua anaknya di universiti di Bangkok sedang musim menanam padi hampir menjelang.

"Saya perlu memasukkan 5,000 baht ke dalam bank setiap anak saya setiap bulan bermakna saya perlu ada 10,000 baht sebulan. Saya juga belum dapat membayar sewa traktor menuai pada musim lalu. Kini saya tidak ada wang untuk membeli benih berharga 500-560 baht setiap 1 rai (kira-kira sehektar)," kata beliau.

Di samping itu, beliau turut berhutang 200,000 baht kepada bank dan koperasi pertanian serta perlu memulakan pembayaran pada Mac selain telah meminjam 120,000 baht daripada kakaknya.

"Kini saya tidak ada wang langsung," kata petani itu sambil menjelaskan biasanya beliau memperoleh 700,000-800,000 baht dengan tanaman padi dua kali setahun di 30 hektar bendangnya.

Seorang lagi pesawah, Thep Kamworn, 62, juga berhutang 350,000 baht yang sudah lewat dibayar selama dua bulan selain dia perlu membayar semula pinjaman daripada bank yang sama pada Mac.

"Saya pergi ke bank dan koperasi pertanian semalam menyatakan kesusahan yang saya hadapi. Mereka memberi saya sekeping kad kredit petani namun saya perlukan tiga orang sebagai penjamin untuk mendapat 50,000 baht tetapi tanpa penjamin saya cuma diberikan 5,000 baht.

"Sebenarnya, kad itu tidak membantu kerana lebih banyak wang diperlukan. Saya perlu dibayar 350,000 baht milik saya itu," kata beliau.

"Saya jadi penanam padi sejak remaja, saya tidak ada pilihan," katanya lagi sambil mengulangi dia mahu terus menanam padi pada musim akan datang bermula tidak lama lagi.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan