BP Kembali Catat Untung Lumayan Selepas Tragedi Di Teluk Mexico

Diterbitkan: Rabu, 5 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Gergasi minyak dan gas British - BP kembali mencatatkan keuntungan lumayan selepas mereka dilanda tragedi ekoran tumpahan minyak di Teluk Mexico pada 2010.

Pendapatan selepas cukai meningkat kepada AS$23.451 bilion tahun lalu, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan BP pada Selasa.

Jumlah ini merupakan satu peningkatkan yang memberansangkan berbanding jumlah pendapatan yang dibuat untuk tempoh yang sama pada 2012 iaitu sebanyak AS$11.017 bilion.

Bagaimanapun, hasil tiga bulan terakhir sebelum Disember menyaksikan keuntungan merosot sebanyak 30 peratus kepada hanya AS$1.042 bilion ekoran kegagalan projek cari gali di Brazil.

BP berkata, pendapatannya meningkat hasil operasi cari gali di Laut Utara, Angola dan Teluk Mexico.

Bagaimanapun malapetaka yang menimpa BP di Teluk Mexico apabila salah satu telaga cari gali mereka bocor dan meletup telah menelan kerugian sehingga AS$42.7 bilion.

Kos kerugian tersebut termasuklah kos operasi, kos operasi menyelamat dan pampasan yang perlu mereka bayar kepada pihak berkuasa Amerika dan denda-denda lain yang berkaitan.

Insiden yang berlaku pada 20 April 2010 itu telah mengorbankan 11 nyawa dan membebaskan minyak mentah ke permukaan laut yang bersamaan dengan 4.9 juta tong minyak.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan