Keadaan Syria Semakin Teruk, Mimpi Buruk Untuk Generasi Akan Datang

Diterbitkan: Jumaat, 31 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANDARAYA KUWAIT: Sewaktu Valerie Amos, Setiausaha Rendah Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkunjung ke Syria buat pertama kalinya hampir dua tahun lepas, beliau menganggarkan sejuta orang memerlukan bantuan kemanusiaan segera.

"Angka itu kini mencecah 9.3 juta orang yang dianggarkan sama dengan jumlah penduduk Chad, Sweden atau Bolivia.

"Daripada jumlah itu, hampir 6.5 juta telah lari dari kediaman masing-masing," kata Amos, yang juga Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB di Persidangan Ikrar Kemanusiaan Antarabangsa Kedua, yang diadakan di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu peserta persidangan, tindakan mengepung kawasan penempatan menjadi senjata peperangan dan mengakibatkan penduduk menghadapi kekurangan bekalan makanan dan tidak mendapat perkhidmatan asas.

Amos mendakwa kumpulan penentang terus mengepung bandar-bandar Nubul dan Az-Zahraa di kawasan perkampungan Aleppo.

Pasukan tentera kerajaan Syria pula mengepung bandar Ghouta Timur, Darayya dan Moadamiyah di kawasan perkampungan Damsyik, Bandar Lama di Homs serta khemah pelarian Palestin di Yarmouk.

"Saya amat bimbang dengan laporan demi laporan bahawa penduduk menghadapi kekurangan makanan di kawasan yang dikepung dan ini melibatkan kira-kira 245,000 orang.

"Kanak-kanak, wanita dan lelaki terperangkap, kelaparan dan mereka menjadi semakin kecewa serta putus asa dengan kemampuan masyarakat antarabangsa untuk menolong mereka," katanya.

PERMULAAN KRISIS

Krisis yang melanda Syria bermula dengan revolusi yang tercetus di Tunisia selepas Mohamed Bouazizi membakar dirinya pada 17 Dis, 2010.

Dipanggil 'Arab Spring', kebangkitan rakyat ini kemudian merebak ke Mesir, Libya dan Syria.

Bermula pada Mac 2011, kebangkitan rakyat Syria merebak ke seluruh negara menjelang April tahun yang sama.

Bagaimanapun, jangkaan rakyat bahawa Presiden Bashar Al-Assad akan melepaskan jawatannya mula merosot. Krisis ini sudah masuk ke tahun ketiga di mana begitu ramai jiwa yang terkorban dan berjuta-juta rakyat menjadi pelarian.

Menurut Karam Shaar, pelajar lepasan ijazah Syria di Malaysia, kekacauan bermula di Dara’a, terletak di bahagian terpencil selatan Syria, apabila sekumpulan remaja lelaki menconteng slogan yang digunakan di Tunisia dan Mesir.

Remaja-remaja itu kemudian ditahan polis.

"Rakyat mahu menjatuhkan rejim yang memerintah sekarang. Sudah tiba masanya untuk dia pergi", Shaar memberitahu Bernama.

Menurut pelajar ini lagi, sebelum tercetusnya 'Arab Spring', beliau dan rakan-rakannya percaya regim yang memerintah Syria dan diketuai Bashar perlu disingkirkan.

Rakyat Syria, katanya maklum regim Bashar amat kuat dari sudut kegiatan perisikan oleh polis rahsia 'mukhabarat', begitu juga dengan Tunisia di mana nisbah polis dengan orang awam adalah tertinggi di dunia.

"Di sebalik kelebihan itu, regim yang memerintah Tunisia berjaya juga digulingkan. Kami merasa gembira dengan apa yang berlaku dan menunggu untuk seseorang melaungkan 'Mari kita lakukan!" katanya.

Shaar berkata selepas remaja lelaki itu ditahan, rusuhan dan tunjuk perasaan meletus di Dara’a dan berlarutan selama 10 hari sebelum remaja-remaja itu dibebaskan.

Keadaan remaja-remaja itu amat menyedihkan di mana mereka telah disiksa dan kuku mereka dicabut.

Maka meletuslah penentangan terhadap kerajaan yang dipimpin Bashar.

KEADAAN SEMAKIN TERUK

Jurucakap Pejabat Serantau Timur Mediterranean, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Rana Sidani dalam wawancara dengan Bernama memberitahu bahawa keadaan kesihatan di Syria juga amat mencabar.

"Enam puluh empat peratus hospital di Syria sama ada musnah sama sekali atau rosak, dan 60 peratus ambulans tidak lagi boleh berfungsi.

"Pengeluaran ubat-ubatan tempatan juga telah terhenti 70 peratus," katanya.

Menurut Sidani, kebanyakan kakitangan perubatan institusi-institusi itu telah lari meninggalkan Syria untuk ke tempat yang lebih selamat.

Beliau menambah penyertaan WHO pada persidangan itu bertujuan membentangkan krisis kesihatan di Syria dan untuk mendapatkan sumbangan dana.

WHO, katanya memerlukan sejumlah AS$187 (kira-kira RM621 juta) untuk 2014.

"Kami merancang menggunakan wang ini untuk meneruskan kempen pemvaksinan mencegah polio.

"Sebagai tambahan, dana itu juga akan digunakan untuk membekalkan perubatan dan peralatan ke hospital dan pusat perubatan," katanya.

Jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Juliette S. Touma berkata pihaknya amat sedih dengan kemunculan semula penyakit polio di Syria.

Beliau menjelaskan penyakit akibat jangkitan virus ini boleh memberi kesan kepada saraf dan mengakibatkan lumpuh separuh badan atau sepenuhnya.

"Sejak 14 tahun, polio telah berjaya dibasmi. Sekarang ia muncul semula dan ini menambahkan lagi kesengsaraan kepada kehidupan kanak-kanak," beliau memberitahu Bernama.

Menurut Touma, dalam menghadapi ancaman polio, UNICEF melancarkan kempen besar-besaran untuk memberi vaksin kepada 2.2 juta kanak-kanak di Syria.

Pertubuhan itu juga berhasrat melakukan yang sama untuk 23 juta kanak-kanak di seluruh rantau ini dan menganggap ia adalah kempen terbesar pernah dilakukan UNICEF di bahagian dunia ini.

"Polio bukan perkara kecil. Sekiranya berlaku wabak polio di satu tempat, ia boleh merebak dan kami mahu menyekatnya. Itulah sebabnya mengapa kami mengadakan kempen untuk memberi vaksin itu kepada seramai mungkin kanak-kanak," jelasnya.

CABARAN HEBAT

Sementara itu, Sidani berkata cabaran paling hebat yang terpaksa ditanggung pertubuhan kemanusiaan ialah pertempuran serta akses yang terhad.

Bercakap mengenai perkara ini, Sidani menegaskan faktor itu menyebabkan pertubuhan kemanusiaan terpaksa menghentikan konvoi menghantar bekalan perubatan.

"Baru-baru ini kami memberi vaksin kepada kanak-kanak untuk mencegah polio dan kami terpaksa menghentikannya kerana pertempuran mula meletus di Raqaa.

"Di kawasan itu, kami menganggarkan 100,000 kanak-kanak memerlukan vaksin polio.

"Malang sekali, kami tidak dapat menghubungi kanak-kanak itu dan menunggu pertempuran berhenti sebelum kami dapat menghantar pasukan perubatan," kata Sidani.

Raut wajahnya jelas menampakkan kekecewaan serta kesedihan kerana tidak dapat menghubungi kanak-kanak itu.

Sadini menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik Syria untuk melakukan gencatan senjata selama beberapa hari bagi membolehkan pihaknya meneruskan kempen vaksin polio kepada kanak-kanak di negara ini.

"Semua tahu betapa bahayanya penyakit polio ini. Virus ini bijak dan mudah berjangkit. Ia tidak kenal erti sempadan politik atau geografi," beliau memberi amaran. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan