Thailand Isytihar Darurat

Diterbitkan: Selasa, 21 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Penunjuk perasaan anti kerajaan mengibarkan bendera Thailand ketika berarak di luar Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Bangkok pada Selasa.
Penunjuk perasaan anti kerajaan mengibarkan bendera Thailand ketika berarak di luar Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Bangkok pada Selasa.

BANGKOK: Kerajaan sementara Thailand mengisytiharkan perintah darurat bagi mengekang demonstrasi oleh kumpulan Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC), yang telah menggugat pentadbiran kerajaan serta menjejaskan aktiviti komersil dan kewangan di Bangkok.

Perintah darurat itu akan berkuat kuasa selama 60 hari bermula pada Rabu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar kerajaan sementara Thailand, Surapong Tovijakchaikul, kawasan tersebut merangkumi Bangkok, wilayah Nontaburi, daerah Lat Lumkaew di Pratumthani dan daerah Bangphli di Sumutprakarn.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Tentera Udara Diraja Thailand di sini, petang Selasa.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat dengan agensi-agensi keselamatan.

Beliau berkata para penunjuk perasaan telah mengancam dan mengganggu penjawat awam yang bertugas dan meminta mereka memberi sokongan kepada protes jalanan itu.

Surapong berkata kerajaan sementara telah menjemput duta-duta asing di Thailand untuk menghadiri satu majlis taklimat bagi menjelaskan mengenai pengumuman dekri darurat itu pada Rabu.

"Kami akan mematuhi standard antarabangsa, kami tidak akan menggunakan senjata untuk menyuraikan para penunjuk perasaan," kata Surapong.

Perintah darurat itu membolehkan kerajaan untuk mengenakan perintah berkurung, melakukan penapisan media dan mengharamkan perhimpunan politik.

Kemudian, Perdana Menteri kerajaan sementara Yingluck Shinawatra berkata para pegawai polis akan menjadi pasukan utama yang menguatkuasakan dekri darurat itu dan bukannya pihak tentera sebagai langkah mengelak berulangnya tindakan keras terhadap para penunjuk perasaan seperti yang berlaku pada 2010.

Kabinet telah menekankan supaya pasukan keselamatan melaksanakan tugas mereka dengan penuh toleransi dan mematuhi standard operasi antarabangsa, katanya selepas mengadakan mesyuarat Kabinet sepanjang hari di Tentera Udara Diraja Thailand di sini, Selasa.

Sebelum ini, pihak polis telah menggesa supaya dekri darurat dikeluarkan tetapi para panglima tentera berpendapat ia tidak perlu dilakukan.

Demonstrasi 'Shutdown Bangkok' yang masih berterusan anjuran PDRC telah menyebabkan menteri-menteri termasuk Yingluck tidak dapat ke pejabat mereka, malah sesetengah agensi terpaksa memindahkan operasi masing-masing.

Beberapa hari lepas, dua serangan bom tangan dilakukan terhadap para penunjuk perasaan selain ada petunjuk bahawa senjata dan bom perisikan tentera sedang dipindahkan ke ibu negara ini.

Kerajaan juga berdepan demonstrasi oleh para pesawah, yang kebanyakannya penyokong kerajaan, setelah mereka tidak mendapat bayaran bagi beras yang dijual kepada kerajaan mengikut skim subsidi.

Sesetengah pesawah yang mengadakan demonstrasi itu dilaporkan telah menyertai para penyokong PDRC, yang mahu memaksa Yingluck meletakkan jawatan dan menangguhkan pilihan raya 2 Februari depan.

Ketika memberi makluman balas mengenai perintah darurat itu, pemimpin PDRC Suthep Thaugsuban berkata dekri darurat itu tidak perlu dikeluarkan kerana kumpulannya mengadakan protes jalanan secara aman sejak tiga bulan lepas.

"Semasa saya menjadi timbalan perdana menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara, perintah darurat dikeluarkan kerana para penyokong Baju Merah telah mencetuskan kebakaran, mengganggu Sidang Kemuncak ASEAN serta melepaskan tembakan ke arah hotel dan bangunan," katanya sambil merujuk kepada insiden 2010 semasa beliau berucap di hadapan para penyokongnya di petang Selasa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan