Thailand Beri Taklimat Kepada Diplomat Mengenai Situasi Di Bangkok Esok

Diterbitkan: Selasa, 7 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Kerajaan sementara Thailand akan memberi taklimat kepada komuniti diplomat di sini Rabu mengenai situasi politik di negara ini, dengan rakyat tempatan gelisah menantikan kemungkinan kota metropolitan ini ditutup pada 13 Januari.

Duta-duta itu telah dijemput menghadiri majlis taklimat itu pagi Rabu, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar kerajaan sementara itu Surapong Tovijakchikul.

Kerajaan sementara sudahpun menyediakan pelan untuk menangani demonstrasi pada 13 Januari dengan menggerakkan anggota dan pegawai tentera serta polis, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri kerajaan sementara Yingluck Shinawatra di Kelab Tentera, Selasa.

Dalam mesyuarat itu, katanya, Yingluck telah mengarahkan para menteri supaya menjaga pejabat masing-masing dan memastikan pegawai-pegawai mereka dapat berkerja pada 13 Januari.

Surapong turut melahirkan kebimbangannya berhubung keselamatan pekerja-pekerja asing dari Kemboja dan Myanmar susulan kejadian seorang pekerja Myanmar ditembak pagi semalam berdekatan Tugu Demokrasi, tempat di mana Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) mengadakan protes di Ratchadamnoen Avenue.

"Saya tidak mahu mereka (pekerja asing) berada dekat kawasan protes. Saya sudah pun memberitahu Chalerm Yubumrung (Menteri Buruh) semasa mesyuarat Kabinet supaya meminta para pekerja asing mengelak kawasan berkenaan dan tidak menyertai protes itu," katanya. Semalam, Yingluck berkata dekri darurat menjadi pilihan terakhir dalam menangani protes itu selain mengadakan dialog dengan PDRC.

Parti beliau, Pheu Thai, turut membangkitkan kemungkinan wujudnya rancangan PDRC untuk menggalakkan pihak tentera melakukan rampasan kuasa semasa tempoh penutupan bandar raya ini, dan khabar angin itu semakin berleluasa selepas pihak tentera mengumumkan rancangannya untuk menggerakkan anggota dan kelengkapan ke Bangkok sempena perarakan Hari Tentera pada 18 Januari.

Bagimananapun, pemimpin PDRC Suthep Thaugsuban menafikan sebarang rancangan untuk menggalakkan tentera melakukan rampasan kuasa.

Pada 3 Januari lepas, PDRC merancang untuk menghimpunkan para penyokongnya di tujuh persimpangan di Bangkok, yang akan menutup laluan ke kawasan-kawasan utama di bandar raya ini.

Kawasan itu termasuk di Tugu Kemenangan (pusat bas di Bangkok), Ratchaprasong (tapak protes rusuhan 2010 oleh Baju Merah, kumpulan pro-Thaksin Shinawtra), Asok( pusat pelancongan dan perniagaan di Jalan Sukhumvit) dan Pratumwan (pusat perniagaan berdekatan Siam Paragon, MBK, gedung beli-belah terkemuka yang menjadi tumpuan pelancong asing).

Kawasan lain ialah Chaengvatta (pusat kompleks kerajaan), Lumpini (kawasan pelancongan berdekatan Jalan Silom) dan persimpangan lima laluan Lat Phrao (berdekatan pasar minggu). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan