Lima Negara Jadi Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB

Diterbitkan: Isnin, 6 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Kemunculan tahun 2014 menyaksikan lima anggota tidak tetap baharu menduduki kerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC), manakala Malaysia pula memperhebat lobinya untuk menganggotai badan berpengaruh itu pada 2015.

Lima anggota baharu yang akan menduduki kerusi berkenaan bagi penggal dua tahun ialah Chad, Chile, Jordan, Lithuania dan Nigeria, untuk mengambil alih tempat Azerbaijan, Guatemala, Maghribi, Pakistan dan Togo, kata satu sumber diplomatik kepada Bernama.

Jordan pula mengambil alih jawatan presiden UNSC, kerusi yang diisi mengikut giliran, dengan wakilnya di PBB Putera Zeid Ra'ad Zedi Al-Hussein menggantikan wakil tetap Perancis Gerard Araud, yang menyandang kerusi itu sejak Disember lepas.

Walaupun jawatan presiden UNSC lebih berupa suatu simbol, bukan kuasa, dan merupakan jawatan yang diisi mengikut giliran dalam kalangan anggota badan itu berdasarkan urutan abjad ejaan namanya dalam bahasa Inggeris, namun penggal satu bulan itu boleh menaikkan imej negara berkenaan dalam kalangan anggota diplomatik antarabangsa.

Jordan, yang menganggotai UNSC dua kali sejak menyertai PBB pada 1955, dipilih sebagai anggota tidak tetap pada 6 Disember oleh Perhimpunan Agung PBB bagi menggantikan Arab Saudi, yang menolak kerusi itu kerana mendakwa UNSC mengamalkan "dwistandard" dalam krisis Timur Tengah.

Chad dan Lithuania menduduki kerusi berkenaan untuk kali pertama, Nigeria dan Chile pula pernah mendudukinya sebanyak empat kali.

Selain lima anggota tetap yang mempunyai kuasa veto - China, Perancis, Rusia, United Kingdom (UK) dan Amerika - 10 anggota tidak tetap UNSC boleh dipilih mengikut Piagam PBB; lima anggota dipilih pada Oktober setiap tahun.

Tahun ini dijangka menyaksikan Malaysia melobi secara habis-habisan untuk menduduki kerusi anggota tidak tetap UNSC pada 2015. Wakil Tetap Malaysia di PBB Datuk Hussein Haniff, dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini berkata Malaysia "melobi secara proaktif" untuk menduduki kerusi itu pada 2015.

"Saya mengambil bahagian dalam semua perbahasan terbuka. Perwakilan Malaysia melobi secara aktif untuk dipilih. Setakat ini, kami adalah satu-satunya calon dari Asia untuk kerusi tidak tetap UNSC," kata Hussein.

Beliau berkata di sebalik jaminan yang diberi kepada sesebuah negara bahawa calonya akan disokong negara lain, namun keadaan boleh berubah sekiranya sesebuah negara yang memberi jaminan itu mengubah pendiriannya.

Pengundian terakhir dibuat secara undi rahsia dan tiada siapa yang akan tahu negara mana yang menyokong atau tidak menyokong sesuatu calon.

Walaupun setakat ini Malaysia merupakan satu-satunya negara dari Asia yang tidak ditentang bagi menduduki kerusi tidak tetap UNSC, namun HUssein berharap "ia akan kekal demikian sehingga selesai proses pemilihan kelak".

Pencalonan Malaysia dicadang secara bersama oleh kumpulan Asean, suatu langkah yang mengukuhkan peluang Malaysia untuk menduduki kerusi itu.

Perwakilan Malaysia juga melobi secara aktif sokongan kumpulan dari Asia Pasifik, yang Hussein percaya akan mengumumkan sokongan mereka kepada Malaysia akhir bulan ini.

Restu kumpulan Asia Pasifik ini dipercayai akan mengukuhkan lagi peluang Malaysia untuk menduduki kerusi berkenaan pada pengundian akhir Perhimpunan Agung PBB pada Oktober tahun ini. Kali terakhir Malaysia menyandang kerusi tidak tetap UNSC ialah pada tahun 2000.

Jelas sekali, penyokong Malaysia di PBB gembira dengan sumbangan besarnya kepada PBB, terutama dalam misi pengaman badan dunia itu melalui penghantaran petugas berkemahiran tinggi dan terlatih.

"Ketika ini, Malaysia menghantar petugasnya menganggotai tujuh daripada 15 misi pengaman. Di samping itu, Malaysia juga menghantar pasukannya menyertai misi pembinaan keamanan dan menghulurkan bantuan pasca konflik, seperti di Liberia," kata Hussein.

Malaysia memainkan peranan "amat aktif" dalam beberapa forum utama PBB. Hussein, yang juga naib presiden Perhimpunan Agung PBB dan pernah mempengerusikan Jawatankuasa Ketiga, secara beransur-ansur membina satu tapak sokongan untuk Malaysia.

"Kami telah membina kes yang kuat (untuk menduduki kerusi tidak tetap UNSC) berikutan momentum yang terhasil daripada tugas aktif kami untuk PBB," katanya.

Sambil menegaskan bahawa "pendirian berprinsip" Malaysia dihargai anggota Perhimpunan Agung, Hussein berkata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman juga melobi sokongan untuk Malaysia apabila bertemu rakan sejawatan beliau ketika melakukan kunjungan ke luar negara.

Menurut beliau Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM), yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika berucap di PBB tiga tahun lepas, mendapat sokongan baik anggota badan dunia itu.

Sambil menyifatkan Malaysia sebagai contoh terbaik sebuah negara yang mengamalkan prinsip kesederhanaan, Hussein berkata GMM menyediakan saluran untuk menyuarakan sikap sederhana dan menolak pendirian melampau dalam sebarang bentuk. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan