Curahan Hati Ibu Bapa Kanak-Kanak Malaysia Yang Maut Dirempuh SUV di Sydney

Diterbitkan: Selasa, 24 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELBOURNE: Seorang lelaki warganegara Malaysia yang masih bersedih mengimbas kembali detik-detik menyentuh perasaan apabila anak lelakinya yang berusia enam tahun mencium beliau dua kali sambil merenung tepat ke matanya dan berkata: "Daddy, saya sayangkan daddy, saya sayangkan daddy selama-lamanya."

Perkara itu berlaku pada malam Selasa lepas, beberapa jam sebelum Dr Balan Revin berlepas pulang ke Malaysia dan meninggalkan anak lelaki beliau, Akshaaye Revin, untuk menyambut Krismas pertamanya di Sydney, Australia bersama-sama ibu dan sepupunya.

Itulah saat-saat terakhir Dr Balan bersama-sama anak lelaki tunggalnya sebelum Akshaaye maut dalam nahas berhampiran Sekolah Awam Carlingford pada pagi Rabu. Dr Balan memaklumkan wartawan meja jenayah The Daily Telegraph Clementine Cuneo bahawa Akshaaye merupakan seorang kanak-kanak penyayang, sopan dan membawa kebahagiaan serta kegembiraan yang tidak terhingga kepada ibu bapanya.

"Kami amat bahagia sejak dikurniakan Akshaaye enam tahun lepas," katanya.

Pada hari kejadian, ibu kanak-kanak malang itu, Ong Fung Yin, membawa Akshaaye ketika menghantar anak saudara perempuannya, Zoe Stephen, 6, pada hari terakhir sesi persekolahan untuk tahun ini.

Adik Zoe yang bernama Ellie turut bersama-sama mereka kerana Ong bercadang membawa kedua-dua kanak-kanak itu bermain di taman berhampiran selepas menghantar anak saudaranya ke sekolah.

"Akshaaye berada di sebelah kanan saya dan saya memegang tangannya. Ellie pula di depan sedikit dan Zoe, yang berada di depan adiknya, berjalan dengan pantas kerana dia begitu teruja untuk ke sekolah," kata Ong.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berjenama Nissan ketika menghampiri kawasan sekolah, yang meragut nyawa Akshaaye dan menyebabkan Ellie cedera parah.

"Kaki saya tertindih di bawah kenderaan itu tetapi saya berjaya menariknya keluar... Saya kemudian bergegas ke bahagian depan kenderaan itu dan nampak Akshaaye, namun saya tahu tiada apa yang boleh saya lakukan lagi untuk menyelamatkannya," katanya dengan linangan air mata.

"Saya capai Ellie, saya peluk dia dan beritahu dia bahawa semuanya akan selamat. Kemudian saya mendapatkan Zoe dan bertanya sama ada dia OK," katanya.

Zoe tidak mengalami sebarang kecederaan manakala Ellie dirawat di Hospital Kanak-Kanak Westmead kerana patah tulang paha dan dijangka tidak boleh berjalan selama empat bulan.

Ong, yang kini dalam proses pemulihan akibat cedera teruk di bahagian kaki di rumah kakaknya di Sydney, berkata beliau percaya Akshaaye telah menyelamatkan nyawanya.

"Akshaaye pada asalnya berada di sebelah kiri saya namun selepas Ellie, yang sebelum itu mengambil sekuntum bunga kemboja yang berada di atas tanah dan membuangnya sejurus sebelum tiba di kawasan sekolah, saya melepaskan pegangan tangan Akshaaye untuk mengambil bunga itu, dan entah bagaimana, selepas itu dia berada di sebelah kanan saya pula.

"Dia mengalami kecederaan paling teruk kerana berada di sebelah kanan saya, dan saya yang sepatutnya berada di tempat Akshaaye ketika kami dirempuh SUV itu, jadi dia sebenarnya telah menyelamatkan nyawa saya." Polis yang menyiasat kemalangan itu berkata ketika kejadian, pemandu wanita terbabit sedang melakukan pusing tiga penjuru ke laluan untuk kakitangan sahaja di Rickard Road.

Penyiasat juga berkata ada kemungkinan pemandu terbabit secara tidak sengaja telah melajukan SUV itu dan bukannya memperlahankan kenderaannya kerana dia sebenarnya ingin menghentikan kereta berkenaan untuk menghantar dua anaknya ke sekolah.

Dr Balan dan isterinya bagaimanapun memaklumkan akhbar berkenaan bahawa mereka tidak menyimpan sebarang perasaan marah atau dendam kepada wanita itu dan memintanya agar tidak berasa bersalah dengan kejadian berkenaan.

"Perkara terakhir yang kami inginkan ialah perasaan bersalahnya. Kami cuma ada perasaan sayang kepadanya. Akshaaye tidak akan kembali lagi sebaliknya dia perlu teruskan kehidupan, dan kami tidak mahu dia terus diburu rasa bersalah," kata Ong.

Dr Balan dan Ong yang bakal menyambut Krismas tanpa anak lelaki kesayangan mereka itu juga lebih selesa menganggap Akshaaye 'malaikat' yang dikirim tuhan untuk membahagiakan hidup mereka.

"Akshaaye sayang, kami benar-benar yakin bahawa kamu ada peranan yang lebih besar, mungkin kini sebagai malaikat untuk menjaga dan melindungi kami yang kamu kasihi," kata ibu Akshaaye dalam penghormatan untuk anak lelaki tunggalnya itu.

Pasangan itu turut memegang erat surat tulisan tangan Akshaaye kepada Santa Klaus ketika dia mula-mula tiba di Sydney Sabtu lepas, yang menyatakan dengan tegas "saya berkelakuan baik sepanjang tahun".

"Dia amat meminati iPad namun kami beritahu dia belum boleh memilikinya... jadi dia minta sebiji bola Nerf," kata Dr Balan. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan