Sektor Swasta Thailand Gesa Keganasan Dihentikan Di Bangkok

Diterbitkan: Isnin, 2 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Wakil sektor swasta Thailand menggesa kerajaan dan pemimpin penunjuk perasaan antikerajaan agar mencari satu penyelesaian damai yang praktikal sebagai satu strategi menamatkan pertikaian ganas di ibu negara itu.

Sambil menggesa semua yang terlibat supaya menghentikan keganasan, mereka menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua sektor di negara itu bagi mencari penyelesaian.

"Jika keadaan begini berterusan, Thailand mungkin menjadi 'negara gagal diperintah' dan bertukar menjadi huru-hara," kata mereka dalam satu kenyataan bersama di sini Isnin.

Mereka juga memberi amaran bahawa sebarang keganasan atau perpecahan akibat daripada perselisihan politik mungkin mewujudkan kesan negatif terhadap asas ekonomi dan sosial negara, jalinan kekeluargaan dan akhlak, di samping mencemarkan imej global negara dan nilai kredit dalam jangka pendek dan sederhana.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Lembaga Perdagangan, Persekutuan Industri Thailand, Persatuan Jurubank Thailand, Majlis Pelancongan Thailand, Persekutuan Pertubuhan Pasaran Modal Thailand, Bursa Saham Thailand dan Persatuan Syarikat Tersenarai Thailand.

Mereka berkata kacau-bilau politik semasa telah menjejas dengan teruk prasarana ekonomi dan sosial Thailand serta melemahkan keyakinan dan daya saing Thailand dalam perdagangan, industri, penggunaan, pelancongan dan pelaburan dan sektor swasta.

Konflik politik semasa yang melarat dengan kehilangan nyawa dan menyebabkan kesusahan kepada rakyat dan negara, jika dibiarkan boleh merebak dan membawa kerosakan tidak terhingga kepada rakyat amnya, kata mereka.

Mereka berkata mereka bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak seperti universiti, media massa dan individu yang berhasrat berganding bahu dalam proses perdamaian mencari penyelesaian kepada sengketa itu dengan mengambil kira undang-undang, keadilan untuk semua dan prinsip tadbir urus yang baik.

Bagaimanapun, kata mereka, sektor swasta tidak menganggap kebebasan menyuarakan pandangan politik patut bertukar menjadi ganas.

Dalam usaha menyelesaikan konflik politik, tidak wajar syarat dikenakan sebagai strategi menang-kalah yang mengakibatkan nyawa melayang dan salah satu cara penyelesaian secara damai dapat dicapai adalah melalui proses demokrasi, kata mereka.

Bagi mengelakkan sejarah berulang semula, mereka mencadangkan agar perbincangan dan dialog awal dianjurkan melibatkan semua golongan yang mempunyai kepentingan untuk mengenal pasti isu dan merangka jalan masa depan sebelum pilihan raya akan datang. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan