Jawatankuasa Khas PBB Gesa Israel Benar Pihaknya Masuk Ke Wilayah Diduduki

Diterbitkan: Sabtu, 9 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Menyiasat Amalan Israel Yang Menjejaskan Hak Asasi Manusia Penduduk Palestin dan Warga Arab Lain di Wilayah Diduduki mahu Israel membenarkan pihaknya masuk ke Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Golan Heights, Syria yang diduduki regim itu.

Wakil Tetap Malaysia di PBB dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Khas itu, Hussein Haniff berkata Jawatankuasa Khas tidak dibenarkan masuk ke wilayah-wilayah itu untuk menjalankan tugasnya tahun ini, walaupun dibenarkan berbuat demikian pada 2011 dan 2012.

"Malaysia kesal kerana Jawatankuasa Khas sekali lagi tidak dapat masuk dan memantau secara langsung keadaan sebenar di Wilayah-Wilayah Diduduki. "Keengganan Israel membenarkan Jawatankuasa Khas masuk ke wilayah-wilayah ini mengesahkan syak wasangka bahawa ia tidak mahu masyarakat antarabangsa mengetahui keadaan sebenar di sana," katanya semasa membentangkan laporannya pada Jawatankuasa Keempat, Sesi Ke-68 Perhimpunan Agung PBB di New York.

Teks kenyataan beliau dihantar ke Bernama di sini, Sabtu.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas turut menggesa Israel menghentikan amalan tidak berperikemanusiaan ke atas banduan dan tahanan dan sebarang peraturan kejam dan berbentuk penindasan ke atas rakyat Palestin dan warga Arab lain yang tinggal di wilayah-wilayah diduduki.

Beliau berkata Israel perlu mematuhi prinsip termaktub dalam undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk Konvensyen Keempat Geneva berkaitan Pelindungan Orang Awam Dalam Situasi Perang pada 12 Ogos 1949, yang terpakai bagi semua Wilayah-Wilayah Arab Diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur dan Golan, Syria yang diduduki.

Hussein berkata situasi hak asasi manusia amat getir khususnya membabitkan rakyat Palestin yang tinggal di Baitulmaqdis Timur rentetan dasar kuasa menduduki itu bertujuan untuk tidak menggalakkan warga Arab berasal dari Baitulmaqdis terus tinggal di bandaraya itu.

Beliau berkata dasar itu, didorong oleh niat Israel untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai "ibu negara mutlaknya", dilakukan secara sistematik dalam bentuk perampasan harta benda orang Arab - khususnya tanah dan rumah mereka atau dirobohkan atas alasan "keselamatan atau pentadbiran", rampasan dan pembatalan permit penduduk dan pelucutan kelayakan hak penduduk.

"Niat itu, jelas, adalah untuk proses "Judaisation of Arab East Jerusalem" iaitu membawa masuk orang Yahudi bagi menggantikan orang Arab, dengan itu mengubah ciri demografi bandaraya itu," katanya.

Katanya disebalik kritikan masyarakat antarabangsa, termasuk rakan baik dan penyokong Israel, dasar provokatif itu tetap dilaksanakan menerusi pembinaan dan peluasan penempatan orang Yahudi secara berterusan.

Beliau berkata situasi hak asasi manusia penduduk yang tinggal di Wilayah-Wilayah Arab diduduki mustahil dapat ditambahbaik selagi Israel meneruskan dasar menggunakan paksaan daripada mengadakan dialog dan rundingan untuk menyelesaikan masalah itu.

"Dasar dangkal dan cetek ini perlu digantikan dengan dasar yang ikhlas bagi penyelesaian politik jangka panjang. Israel tidak boleh berharap untuk membina sebuah negara yang aman dan makmur atas penderitaan dan ketidakupayaan warga Arab di wilayah-wilayah diduduki. "Lambat laun Israel perlu memenuhi tuntutan dan aspirasi penduduk Palestin dan menerima hakikat penubuhan sebuah negara Palestin," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan