Indonesia Buka Ekonomi Untuk Tarik Pelaburan Asing

Diterbitkan: Khamis, 7 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Indonesia merancang untuk membuka beberapa sektor ekonominya yang sebelum ini disekat kepada pelabur asing di samping membenarkan mereka menambah kepentingan dalam perniagaan tempatan dalam usaha terbaharu untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing.

Ini termasuk membenarkan pelabur asing terlibat dalam pengurusan dan pengendalian pelabuhan, lapangan terbang, terminal darat dan dermaga kering serta memastikan projek-projek seumpama itu kekal dalam lingkungan perkongsian awam-swasta.

Kerajaan Indonesia juga merancang untuk membuka pintunya kepada pelabur asing yang mahu mengusahakan perniagaan pengedaran filem, dengan had pemilikan ditetapkan pada 49 peratus.

Akhbar harian berbahasa Inggeris "Jakarta Globe" pada Khamis melaporkan bahawa langkah melonggarkan sekatan itu adalah hasil satu mesyuarat antara beberapa pegawai kerajaan Indonesia dengan tokoh penting perniagaan dipengerusikan oleh Menteri Koordinasi Ekonomi Indonesia, Hatta Rajasa, di sini Rabu.

Menurut laporan itu, rancangan kelonggaran itu akan membenarkan pelabur-pelabur dari negara Asean memiliki sehingga 51 pertus perniagaan pengiklanan tempatan.

Kerajaan juga merancang untuk membenarkan pelabur asing menguasai sehingga 85 peratus perniagaan farmaseutikal, dinaikkan daripada maksimum 70 peratus.

Pelabur asing yang melihat peluang dalam industri eko-pelancongan boleh menguasai sehingga 70 peratus syarikat tempatan, pertambahan daripada maksimum 49 peratus sekarang ini.

Sektor telekomunikasi akan diselaraskan pada 65 peratus. Firma asing akan dibenarkan memiliki 85 peratus firma modal teroka, meningkat daripada 80 peratus.

Hatta berkata idea di sebalik langkah melonggarkan sekatan itu adalah untuk menunjukkan kepada pelabur asing bahawa Indonesia tidak berhasrat untuk menutup ekonominya.

"Kami tidak akan menambah sekatan," kata Hatta, sambil menambah bahawa kerajaan tidak ada banyak ruang untuk bergerak dalam kes-kes di mana peraturan diperlukan untuk melindungi kepentingan negara.

"Kami akan terus melindungi syarikat-syarikat kecil dan sederhana," kata menteri itu.

Bagaimanapun, keputusan iu masih belum dimuktamadkan dan kerajaan perlu mengadakan satu lagi mesyuarat dengan kalangan peniaga tempatan untuk merangka lebih banyak butir rancangan itu, tambah Hatta. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan