Rakyat M'sia Dengan Gelaran "Si Gemuk Leonard" Akan Didakwa Di Amerika Kerana Rasuah Pelacur Kepada Tentera Laut Amerika Untuk Kontrak Berjuta Dolar

Diterbitkan: Selasa, 5 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Misiewicz didakwa membekalkan maklumat sulit mengenai jadual perjalanan kapal-kapal perang Amerika kepada Si Gemuk Leonard.
Misiewicz didakwa membekalkan maklumat sulit mengenai jadual perjalanan kapal-kapal perang Amerika kepada Si Gemuk Leonard.

SAN DIEGO (AS): Seorang rakyat Malaysia yang dikenali dengan panggilan 'Si Gemuk Leonard' di kalangan pegawai-pegawai kanan tentera laut Amerika yang beroperasi di lautan Pasifik kini popular atas sebab yang salah setelah dia didakwa di sebuah mahkamah persekutuan di sini kerana menjadi bapa ayam.

Tetapi menurut agensi berita AP, berdasarkan kertas dokumen mahkamah yang diperolehi, Si Gemuk Leonard atau nama sebenarnya Leonard Francis bukan sekadar membekalkan pelacur kepada pegawai-pegawai tinggi tentera laut Amerika yang berlabuh di Pasifik malah menggunakan cara tersebut untuk memperolehi pelbagai maklumat sulit tentera laut yang akhirnya digunakan untuk mendapat kontrak yang lumayan.

Dia juga didakwa menyediakan tiket konsert percuma Lady Gaga untuk pegawai-pegawai tentera laut Amerika sebagai habuan mendapat akses kepada maklumat kontrak yang dicarinya.

Skandal yang amat memalukan pasukan tentera laut Amerika di Pasifik ini yang sebelum ini dianggap sebagai pasukan yang penuh integriti dan paling beradap serta sopan di kalangan cabang pasukan bersenjata Amerika telah menjadi tajuk berita utama di negara tersebut.

Dan yang paling memalukan ialah, nama Malaysia muncul di tengah-tengah kehangatan kes tersebut gara-gara Si Gemuk Leonard.

Kes ini juga telah mendedahkan betapa korupsi dan penyalahgunaan kuasa boleh menjejaskan isu keselamatan negara.

Mahkamah akan memutuskan Jumaat ini bilakah tarikh perbicaraan akan bermula.

Sementara itu, berdasarkan dokumen pendakwaan yang diperolehi oleh AP, Komander Angkatan Tentera Laut Amerika, Michael Vannak Khem Misiewicz telah dikatakan membekalkan maklumat sulit mengenai jadual perjalanan kapal-kapal perang Amerika kepada Si Gemuk Leonard yang mempunyai sebuah firma pembekalan yang berpusat di Singapura.

Firma tersebut, Glenn Defense Marine Asia Limited kemudiannya mencaturkan di manakah kapal-kapal perang Amerika termasuklah kapal pengangkut pesawat patut berlabuh dan menerima khidmat bekalan sokongan.

Firma itu kemudiannya didakwa telah menggenakan caj yang berlebihan ke atas kapal-kapal tentera laut Amerika ini menerusi bekalan minyak, makanan dan lain-lain perkhidmatan.

Syarikat milik Si Gemuk Leonard ini pernah sekali mengenakan caj perkhidmatan sehingga AS$10 juta kepada tentera laut Amerika dalam satu tahun.

Malah mereka didakwa telah mencipta tarif yang dipalsukan menggunakan dokumen pihak berkuasa pelabuhan.

Bekas Panglima Angkatan Laut Amerika, Admiral Terry McKnight telah dipetik sebagai berkata, adalah sesuatu yang menakjubkan bagaimana seorang manusia boleh menentukan di pelabuhan manakah sesebuah armada laut patut berlabuh apatah lagi jika ia dilakukan hanya dengan pengaruh seorang kontraktor perbekalan.

Setakat ini pihak berkuasa telah menahan Misiewicz, Si Gemuk Leonard, pengurus besarnya, Alex Wisidagama dan seorang lagi pegawai tentera laut bernama John Beliveau.

Menurut kertas pendakwaan, Beliveau dituduh membekalkan maklumat kepada Si Gemuk Leonard tentang perkembangan siasatan dan bagaimana hendak mempertahankan dirinya daripada semua dakwaan ini sebagai balasan kepada percutian mewah, rasuah dan pelacur.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

Tetapi jika didapati bersalah kelak, mereka berhadapan dengan hukuman sehingga lima tahun penjara.

Ramai yang percaya akan terdapat beberapa nama lagi pegawai tinggi tentera laut yang akan terpalit dan didakwa kerana menerima pelbagai hadiah lumayan daripada Si Gemuk Leonard.

Yang paling menakjubkan ialah, Si Gemuk Leonard ini dikatakan telah mencapai status 'legenda' di kalangan pegawai-pegawai tinggi tentera laut Amerika di Pasifik yang sekaligus mengambarkan betapa popularnya dia.

Fakta ini diakui sendiri oleh Admiral McKnight walaupun dia sendiri tidak pernah bertemu Leonard tetapi sekadar mendengar namanya sahaja.

Banglo mewah Leonard di Singapura menjadi perhatian ramai dan disifatkan sebagai sama hebat dengan pusat membeli belah terkemuka negara itu.

"Jika anda bercakap dengan mana-mana kapten kapal armada yang pernah belayar ke Singapura dan Pasifik, tidak ada seorang pun yang tidak kenal dengannya. Semua mereka mengenalinya secara peribadi," kata McKnight lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Siasatan Jenayah Tentera Laut Amerika, Laksamana John Kirby dipetik oleh AP sebagai berkata, siasatan ke atas Leonard bermula pada tahun 2010.

Pada tahun yang sama, Komander Misiewicz turut mencuri perhatian dunia apabila dia buat pertama kalinya kembali ke tanah asalnya Kemboja sebagai seorang pegawai kanan tentera laut Amerika. Dia disambut bagaikan seorang wira oleh warga Kemboja.

Dia berhijrah ke Amerika pada usia yang kecil selepas diambil sebagai anak angkat oleh seorang wanita warga Amerika.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan