Perancis Berang Rakyatnya Jadi Mangsa Pengintipan Amerika

Diterbitkan: Rabu, 23 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PARIS: Duta Amerika Syarikat ke Perancis, Charles Rivkin telah dipanggil oleh Kementerian Luar Perancis untuk menjawab tuduhan bahawa Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika (NSA) telah memintas lebih 70 juta panggilan telefon di Perancis dalam tempoh 30 hari.

Dakwaan tersebut disiarkan oleh akhbar Perancis, Le Monde baru-baru ini.

"Amalan seperti ini (mengintip) di antara dua buah negara sahabat apatah lagi mencerobohi kehidupan peribadi orang lain tidak dapat diterima sama sekali," kata Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius kepada para pemberita pada Persidangan Menteri-Menteri Luar Kesatuan Eropah di Luxembourg.

Tegas Fabius, negaranya perlu memastikan kejadian seumpama itu jika benar tidak akan berulang lagi.

Kejadian terbaru itu telah mencetuskan ketegangan dan krisis baru di antara Amerika Syarikat dan Perancis sehingga mendorong Presiden Barack Obama menelefon rakan sejawatannya Francois Hollande pada Isnin.

Percakapan tersebut telah disahkan oleh White House dalam satu kenyataan rasmi.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Presiden Hollande menegaskan yang amalan mengintip warganya sepertimana yang dilakukan oleh agensi perisikan Amerika itu sememangnya tidak dapat diterima.

Ini memandangkan Perancis beranggapan yang Amerika sedia berkongsi apa jua maklumat risikan yang ingin mereka perolehi dimaklumkan kepada mereka terlebih dahulu memandangkan kedua-dua buah negara menganggap masing-masing sebagai negara sahabat.

Sehubungan dengan itu, kedua-dua presiden Amerika dan Perancis telah bersetuju yang agensi perisikan masing-masing akan menyiasat tentang dakwaan yang dibuat oleh akhbar Le Monde.

Terdahulu Setiausaha Negara Amerika, John Kerry, yang kini berada di sini menegaskan yang Perancis adalah sekutu utama Amerika dan mereka sentiasa bekerjasama untuk memastikan keselamatan warga mereka sentiasa didahulukan.

Malah Kerry menegaskan yang banyak negara di dunia kini mempertingkatkan aktiviti perisikan mereka dalam usaha untuk menghalang dan mengelak menjadi sasaran pengganas antarabangsa.

Le Monde pada Isnin melaporkan yang Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika telah memintas berjuta-juta panggilan telefon di Perancis dengan memetik dokumen yang dibocorkan oleh seorang warga Amerika yang bernama Edward Snowden yang sebelum ini adalah kontraktor teknologi maklumat yang pernah berkhidmat memasang perisian canggih untuk NSA.

Le Monde mendakwa yang aktiviti pemintasan itu dilakukan dengan begitu aktif antara 10 Disember 2012 hingga 8 Januari 2013.

Akhbar itu mendakwa sejumlah 3 juta data dipintas dan dimuat turunkan setiap hari oleh komputer canggih NSA.

Menurut akhbar tersebut, data yang dimuat turun itu termasuklah teks pesanan ringkas yang dihantar melalui telefon bimbit.

Pendedahan oleh akhbar Perancis itu dibuat sehari selepas majalah berita terkemuka Jerman, Der Spiegel mendedahkan yang NSA secara sistematik mengintip jiran mereka Mexico.

Ini termasuklah mengodam kotak emel bekas Presiden Felipe Calderon dan anggota kabinetnya.

Der Spiegel juga memetik dokumen rahsia yang dibocorkan oleh Snowden.

Kementerian Luar Mexico secara rasmi telah membuat bantahan tersebut kepada kerajaan Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan yang berkaitan, NSA dalam satu kenyataan menegaskan, bukanlah menjadi polisinya untuk membuat komentar secara terbuka berhubung apa jua dakwaan yang dibuat ke atas aktivitinya tetapi turut menyatakan yang pengumpulan maklumat berhubung perisikan yang diamalkannya adalah sama sepertimana yang diamalkan oleh negara-negara lain di seluruh dunia.

Hanya bulan lalu kerajaan Mexico dan Brazil telah memanggil duta Amerika di negara masing-masing untuk membantah aktiviti perisikan yang dilakukan oleh Amerika sebaik sahaja ia dilaporkan oleh media.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan