Lawatan KSN Ke Singapura Perkukuh Hubungan Sektor Awam Malaysia-Singapura

Diterbitkan: Khamis, 17 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Lawatan kerja dua hari Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa ke bandaraya Singa ini mulai Khamis bakal mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, khususnya peringkat sektor awam.

Menyatakan demikian, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Datuk Husni Zai Yaacob berkata Ali pernah melawat republik ini tetapi ini merupakan lawatan pertamanya sebagai pegawai tertinggi perkhidmatan awam.

"Sebagai sebahagian program, Tan Sri Peter Ong, ketua perkhidmatan awam Singapura, akan menganjurkan majlis makan malam rasmi bagi meraikan Ketua Setiausaha Negara, yang dijadual tiba di sini lewat tengah hari Khamis," katanya.

Husni Zai berkata dalam pertemuan antara kedua-dua ketua perkhidmatan awam itu, mereka dijangka bertukar-tukar pendapat mengenai portfolio masing-masing dan membincangkan kaedah untuk meningkatkan lagi hubungan perkhidmatan awam kedua-dua negara.

Pada sebelah petang, Ali dijadual mengadakan pertemuan dengan pegawai Suruhanjaya Tinggi di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Husni Zai berkata Ali juga dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Menteri Penyelaras Keselamatan Dalam Negeri dan Menteri bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Teo Chee Hean, pada Jumaat.

Katanya Ketua Setiausaha Negara juga akan melawat Centre for Strategic Futures dan tapak projek (M+S), usahasama Khazanah Nasional Bhd-Temasek Holdings (Private) Ltd di Marina One and Ophir-Rochor.

Projek usahasama itu terkandung dalam POA (Perkara Perjanjian) antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong pada 2010 mencapai persetujuan mengenai tanah milik Keretapi Tanah Melayu di Singapura.

Mengenai hubungan sektor awam antara kedua-dua negara ketika ini, Husni Zai berkata ia adalah baik dan akan bertambah kukuh menerusi lawatan Ali.

Kedua-dua negara telah menganjurkan beberapa seminar dan Sukan Perkhidmatan Awam Malaysia-Singapura. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan