Selatan Thai Bergolak Dengan Berpuluh Serangan

Diterbitkan: Khamis, 10 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SELATAN THAILAND: Sebanyak 44 serangan termasuk menggunakan bom buatan sendiri, sabotaj dan kebakaran disengajakan dilakukan puak pemisah di selatan Thailand sejak awal hari Rabu.

Sesetengah pihak mengaitkan kejadian itu dengan penangkapan tujuh anggota gerakan Pembebasan Patani (BRN) serta empat lagi yang mati dalam pertempuran dengan pihak keselamatan Thai pada 5 Oktober lepas, tetapi dinafikan pihak tentera.

Dalam kejadian 5 Oktober, empat anggota BRN yang terkorban di sebuah rumah di Kg Senek, Mukim Riang, daerah Rusak itu termasuk ketua mereka yang dikehendaki pihak berkuasa. Dalam kejadian itu dua anggota polis turut terkorban.

Jurucakap Tentera Bahagian ke-4, Kol Promot Prom-in, dalam satu sidang akhbar berkata 11 kejadian serangan berlaku di Yala, 15 di Pattani, 15 di Narathiwat dan tiga lagi daerah Sabayoi dan Nathawi dalam wilayah Songkhla.

"Serangan puak pemisah kali ini bertujuan untuk memusnahkan ekonomi tempatan yang makin pulih serta menimbulkan suasana huru hara. Perbuatan seperti ini adalah perbuatan puak melampau yang bertujuan untuk kepentingan kumpulan mereka sahaja dengan menimbulkan kesusahan dan mengacau keamanan dan kebahagiaan rakyat," kata beliau.

Sementara itu, Komander Tentera Bahagian ke-4 Mej Jen Sakol Sheuntrakoon ketika bertemu pemberita di Kem Sirinthon, Yarang Pattani, pagi tadi berkata beliau kesal dengan kejadian itu dan pihak tentera akan bertindak terhadap mereka yang melanggar undang-undang demi menjaga keadilan.

Ketua Polis Wilayah Pattani Mej Pol. Pho Suai-Suwan berkata dalam kejadian di Pattani, seorang guru sekolah Charak Kerian, Waena Manor, 55, mati terkena peluru sesat semasa berada di dalam rumah apabila markas renjer di Kampung Charak Kerian, Mukim Tabing, Saiburi diserang dengan beberapa renjer cedera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pattani Kol.Pol. Dir Jutthanon berkata sebuah kapal nelayan di kawasan Sungai Pattani, Daerah Muang Pattani diletupkan pukul 2.30 pagi diikuti letupan bom secara serentak tiga jam kemudian di lima buah mesin juruwang automatik (ATM) di bandar Pattani menyebabkan lima orang awam cedera.

Di YALA, 11 mesin ATM di tiga daerah menjadi sasaran serangan bom iaitu enam di pekan Yala, empat di daerah Yaha dan satu di daerah Bannang Setar, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Di NARATHIWAT, kejadian serangan bermula sekitar 3 pagi waktu tempatan dengan pembakaran dua wakaf awam di tepi jalan raya Asia 18 Pattani-Narathiwat di kawasan daerah Jeringa. Sebuah kereta bomba, sebuah bangunan Klinik Mukim Lubuk Sawa, daerah Bachok, dan sebuah ambulans turut dibakar.

Ketua Polis daerah Muang Narathiwat Kol. Pol. Somporn Misuk berkata lima mesin ATM di pekan Narathiwat diletupkan dengan bom buatan sendiri pada pukul 5 pagi waktu tempatan.

Pada 8.35 pagi, sebuah kereta perisai yang dinaiki pasukan khas renjer dalam satu operasi mengepung kawasan di Chok Irong dibom mengakibatkan dua renjer maut dan tiga yang lain cedera, kata Ketua polis daerah Chok Irong Kol. Pol. Suchat Saeed. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan