China Tidak Akan Amal Dasar Hegemoni - Li Keqiang

Diterbitkan: Selasa, 8 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri China Li Keqiang menamatkan kebimbangan di rantau ini dengan menegaskan bahawa negara paling pesat berkembang di dunia itu tidak akan mengamalkan dasar hegemoni apabila memiliki kekuatan. "China tidak akan sekali-kali mengamalkan pola lama melaksanakan dasar hegemoni apabila mempunyai kekuatan," katanya dalam temu bual bersama secara bertulis dengan media dari negara anggota Asean dan disiarkan Borneo Bulletin di sini pada Selasa.

Li, yang dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-23 dan sidang kemuncak berkaitannya di ibu negara Brunei ini, berkata sebagai anggota keluarga Asia yang besar, masa depan China berkait rapat dengan masa depan negara Asia lain.

Ketika menegaskan bahawa China memerlukan suasana aman dan stabil di negara jiran untuk membolehkannya terus maju, Li berkata Asean menjadi keutamaan dalam agenda diplomatiknya dan China akan memberi sokongan padu kepada pertubuhan 10 anggota itu untuk menjadi lebih kuat serta memainkan peranan utama dalam kerjasama Asia Timur.

Kata beliau kini China adalah rakan perdagangan terbesar Asean, manakala Asean pula merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar negara itu.

Tahun lepas, perdagangan dua hala Asean-China mencecah lebih AS$400 bilion (RM1.28 trilion), lima kali lebih tinggi daripada jumlah dalam tempoh 10 tahun sebelumnya, manakala pelaburan bersama pula mencapai lebih AS$100 bilion (RM320 bilion), tiga kali lebih tinggi daripada jumlah yang dicatat 10 tahun sebelum itu.

"Pada dekad lepas, jumlah pertukaran budaya dan pertukaran antara rakyat dengan rakyat China-Asean, turut mengalami peningkatan. Pertukaran lawatan pula mencecah 15 juta pada tahun lepas, empat kali lebih tinggi daripada tempoh 10 tahun sebelumnya," kata Li.

Hari ini, China muncul sebagai sumber pelancongan kedua terbesar bagi Asean, dengan lebih 1,000 penerbangan ulang alik diadakan antara kedua-dua pihak setiap minggu, katanya.

Beliau berkata China mengunjurkan importnya mencapai AS$10 trilion (RM32 trilion), pelaburan keluarnya pula mencecah AS$500 bilion (RM1.6 trilion), manakala kunjungan ke luar negara rakyatnya pula berjumlah lebih 400 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

"China berharap peluang perniagaan yang amat besar ini akan dapat dikongsinya dengan negara anggota Asean dan negara Asia Timur lain, di samping memberi lebih banyak sumbangan terhadap kemajuan Asean, negara Asia Timur lain serta dunia," katanya. Mengenai kesan daripada persoalan Laut China Selatan terhadap hubungan China-Asean, Li berkata China dan negara anggota Asean telah mengadakan banyak perbincangan secara mendalam serta mencapai kesepakatan mengenainya.

"Selagi kita komited terhadap kata sepakat ini dan bertindak mengikut prinsip yang dipersetujui bersama, wilayah Laut China Selatan akan terus aman dan stabil," katanya.

Perkara utama dalam persoalan Laut China Selatan ialah pertikaian berhubung kedaulatan beberapa pulau dan terumbu karang Kepulauan Nansha serta pertikaian sempadan bagi beberapa kawasan perairan di lautan itu.

China, Taiwan dan negara anggota Asean terdiri daripada Brunei, Malaysia, Filipina serta Vietnam membuat tuntutan wilayah di kawasan yang menjadi pertikaian itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan