Ekonomi Apec Mesti Rangsang Pelaburan Untuk Kekalkan Pertumbuhan

Diterbitkan: Ahad, 6 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NUSA DUA (BALI): Anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) perlu meningkatkan usaha untuk merangsang pelaburan di wilayah itu bagi mengekalkan pertumbuhan dan mewujudkan peluang pekerjaan, kata Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono.

Beliau menggesa negara anggota membangunkan lebih banyak infrastruktur yang lebih baik sebagai elemen penting dalam perhubungan dan membuka peluang pekerjaan, memudahkan perdagangan dan menangani ketidakcekapan dalam rangkaian bekalan.

"Kita mesti bekerja bersama-sama bagi memastikan kestabilan kewangan, prasyarat penting untuk aktiviti ekonomi mampan, termasuk perdagangan dan pelaburan," katanya dalam ucapan dasar pada Sidang Kemuncak CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Apec 2013 di sini, Ahad.

Menurut Dana Kewangan Antarabangsa, Apec dijangka berkembang 6.3 peratus tahun ini dan 6.6 peratus pada 2014 iaitu lebih daripada dua kali ganda purata dunia.

Pada masa ini, ekonomi Apec menyumbang 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dan 44 peratus dagangan dunia.

Dagangan rantau ini berkembang tujuh kali ganda sejak 1989, dengan mencatat lebih US$11 trilion pada 2011.

Dalam persekitaran ekonomi semasa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Jumaat lepas dilaporkan berkata bahawa Malaysia dan China diunjur merealisasikan dagangan dua hala berjumlah US$160 bilion menjelang 2017.

Pada mesyuarat tertutup dengan Presiden China, Xi Jinping, di Kuala Lumpur, kedua-dua pemimpin turut membincangkan program kerjasama lima tahun dalam bidang ekonomi dan perdagangan selain bersetuju meningkatkan kerjasama semasa antara kedua-dua negara menerusi usaha sama strategik yang menyeluruh.

"Kami juga membincangkan kerjasama yang lebih baik dalam perkhidmatan kewangan. Kami mahu melihat lebih banyak perdagangan antara kedua-dua negara diselesaikan menggunakan mata wang Renminbi dan Ringgit," kata Najib. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan