Obama Tidak Dapat Hadir Sidang Kemuncak Apec 2013 - Presiden Indonesia - Berita Dunia | mStar

Obama Tidak Dapat Hadir Sidang Kemuncak Apec 2013 - Presiden Indonesia

Diterbitkan: Jumaat, 4 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NUSA DUA (BALI): Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah menelefon Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pada Jumaat untuk memaklumkan bahawa beliau tidak dapat menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2013 yang dijadual berlangsung di sini pada 7 dan 8 Oktober.

Pemberitahuan itu datang dua hari selepas Obama menelefon Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memaklumkan bahawa beliau telah menangguhkan lawatannya ke Malaysia, berikutan penutupan operasi sebahagian agensi pentadbiran negara itu.

Dalam perkembangan terbaharu pada Jumaat, Obama telah memberitahu Susilo bahawa beliau kesal tidak dapat menghadiri sidang kemuncak itu kerana persoalan tentang perbahasan anggaran negara yang belum selesai, kata Staf Khusus Presiden Bidang Hubungan Antarabangsa Teuku Faizasyah dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu Amerika Syarikat akan diwakili Setiausaha Negara John Kerry pada sidang kemuncak Apec.

Susilo memberitahu bahawa beliau memaklumi pertimbangan berhubung ketidakhadiran Obama itu pada sidang kemuncak Apec 2013 kerana beliau juga mengikuti perkembangan situasi di dalam negara Amerika Syarikat pada masa ini, kata Teuku Faizasyah. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan