Ibu Bapa Pelajar Sekolah Menengah Di Acheh Terkejut Syarat Baharu Data Kesihatan

Diterbitkan: Khamis, 5 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Ibu bapa pelajar sebuah sekolah di Aceh terkejut apabila anak-anak mereka yang baru memasuki sebuah sekolah menengah rendah di Sabang, Aceh, perlu menjawab soalan berhubung ukuran alat kelamin dan payudara dalam borang data kesihatan pelajar.

Seorang ibu kepada seorang pelajar itu berkata beliau terkejut apabila borang itu ditunjukkan anaknya yang kurang faham untuk mengisi borang soal selidik itu.

Menurutnya borang yang mengandungi enam halaman itu bertajuk "Soal Selidik Penjaringan Kesihatan Peserta Didik Sekolah Lanjutan" adalah bersifat "Rahsia" dan ada tulisan Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) di sudut kiri bahagian atas.

Di satu satu halaman borang yang bergambar contoh payudara, alat kelamin perempuan, dan alat kelamin lelaki, masing-masing ada empat nombor dari ukuran terkecil hingga ukuran terbesar dan pelajar diminta membulatkan salah satu nombor sesuai dengan bentuk tubuhnya.

"Sangat tidak beretika kalau sampai menanyakan ukuran alat sulit, untuk apa itu," kata ibu itu.

Semakan pihak media mendapati di bahagian empat borang itu ialah soalan mengenai data kesihatan reproduksi di mana pelajar perempuan disoal tentang haid dan keputihan berserta gambar ukuran payudara dan alat kelamin perempuan.

Untuk pelajar lelaki pula mereka ditanya sama ada pernah bermimpi basah dan sama ada pernah mengalami gatal-gatal di sekitar kemaluan.

Ketua Jabatan Pendidikan Sabang, Aceh, Misman mengesahkan borang soal selidik diedarkan kepada para pelajar sekolah menengah rendah di daerah itu setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan.

"Soal selidik itu dibuat atas cadangan Pusat Kesihatan Masyarakat yang bertujuan mendapatkan maklumat mengenai rekod kesihatan pelajar," katanya.

Borang soal selidik yang sama pernah diedarkan tahun lalu namun tidak ada sebarang bantahan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak kerana tiada imej alat sulit perempuan dan lelaki yang dicetak pada borang itu, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan