M'sia Bantah Serangan Ke Atas Syria

Diterbitkan: Rabu, 4 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia mengambil pendirian menentang sebarang kuasa luar melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, campur tangan ketenteraan bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan konflik dalaman di Syria malah akan mengorbankan lebih ramai penduduk yang tidak berdosa dan memusnahkan harta benda di negara itu.

"Penyelesaian politik adalah yang terbaik. Kami tidak pernah percaya campur tangan ketenteraan akan menyelesaikan masalah...seperti dilihat di Libya, Iraq dan Afghanistan.

"Pendirian kami jelas iaitu kita perlu beri peluang kepada pihak yang bertelingkah supaya duduk semeja untuk berdialog dan berunding serta mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada negara terbabit," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Anifah berkata demikian sebagai mengulas rancangan Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas Syria, yang didakwa menggunakan senjata kimia terhadap penentang rejim pimpinan Presiden Bashar al-Assad itu.

Mengulas peranan Liga Arab untuk membantu Syria menyelesaikan masalah dalaman negara itu, Anifah berkata cara terbaik ialah melalui rundingan dan perbincangan politik.

"Kami amat berharap Liga Arab akan menemukan penyelesaian bagi masalah ini kerana mereka merupakan negara yang mempunyai kaitan di rantau itu dan merekalah yang sepatutnya memutuskan cara terbaik yang patut digunakan Syria dan rantau itu agar kestabilan dan keselamatan terus terjamin," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan