Kerajaan Tidak Akan Benarkan Penunjuk Perasaan Getah Hampiri Lapangan Terbang Surathani

Diterbitkan: Rabu, 4 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Kerajaan Thailand berjanji akan memastikan Lapangan Terbang Surathani terus dibuka meskipun pekebun getah di selatan Thai kini mula berkumpul berhampiran lapangan itu selepas permintaan mereka untuk jaminan harga tidak dipenuhi dan kerajaan.

Kerajaan Thailand bersedia untuk mengambil tindakan serius jika penunjuk perasaan berkenaan bertindak menutup lapangan terbang itu, kata Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Keselamatan Nasional Pol Gen Pracha Promnok.

Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau berkata penunjuk perasaan tidak akan dibenarkan menutup lapangan terbang itu kerana ia akan menjejaskan imej negara.

Beliau berkata gabenor setiap wilayah boleh membenarkan pengeluaran arahan pencegahan bencana dan langkah-langkah menghalang untuk menangani sebarang kejadian.

Para penunjuk perasaan mengancam untuk menutup Lapangan Terbang Surathani selepas kabinet semalam menolak permintaan mereka untuk jaminan harga yang sama seperti diberikan kepada penanam padi.

Sebaliknya, kerajaan mengumumkan semalam subsidi kepada petani getah dalam bentuk bantuan berdasarkan pegangan getah mereka dan juga kepada industri untuk meningkatkan penggunaan getah dalam negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan