Bank Di India Diarah Pastikan Aliran Kredit Kepada Semua Sektor

Diterbitkan: Jumaat, 30 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Bank-bank di India diarah memastikan aliran kredit kepada semua sektor industri, selain bertimbang rasa terhadap peminjam ingkar yang bukan sengaja tidak membayar hutang, dalam persekitaran yang mencabar, namun tegas kepada peminjam yang sengaja ingkar.

Menteri Kewangan P. Chidambaram berkata bank diminta bersimpati dan mengguna pakai pendekatan berperikemanusiaan ke atas peminjam ingkar.

"Peminjam yang benar-benar menghadapi masalah dan mereka yang sengaja ingkar perlu ditangani secara berasingan. Kita perlu tegas terhadap mereka yang sengaja ingkar," katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Parlimen Ketiga kementerian itu di sini pada Jumaat.

Tajuk perbincangan pada mesyuarat hari ini ialah "Aset tidak Berbayar (NPA) dalam Bank Sektor Awam (PSB) dan Langkah-langkah yang diambil untuk membendungnya."

Beliau berkata NPA jumlah aset bank ialah sebanyak 3.84 peratus sehingga akhir Mac 2013 dan 2.32 peratus pada Mac 2011.

NPA dalam sektor pertanian ialah sebanyak 5.46 peratus, sektor perusahaan kecil dan sederhana (MSME) pada 5.82 peratus, sektor korporat 3.44 peratus, pinjaman runcit 2.37 peratus hartanah 1.92 peratus.

NPA bergantung kepada prestasi ekonomi, katanya dan menambah, jika ekonomi berkembang 8 hingga 9 peratus setahun, NPA akan turun.

Ekonomi India berkembang lima peratus dalam tahun kewangan 2012/13, paras terendah dalam tempoh sedekad.

Menteri Kewangan itu juga berkata bank memerlukan modal untuk memenuhi pinjaman yang ditingkatkan.

Kerajaan memperuntukkan Rs 14,000 crore (US$2.06 bilion) untuk permodalan bank.

Beliau berkata semua PSB mematuhi arahan Basel III, malah modal negara dan syarat peruntukan lebih ketat daripada Basel III. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan