Pistorius Cuba Selesaikan Kes Dengan Keluarga Kekasihnya Yang Terbunuh Di Luar Mahkamah

Diterbitkan: Khamis, 22 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHANNESBURG: Pelari Paralimpik Afrika Selatan, Oscar Pistorius yang dituduh menembak mati kekasihnya di dalam bilik air rumahnya kerana menyangka dia adalah penceroboh kini sedang berusaha untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah dengan ahli keluarga mendiang kekasihnya itu.

Media-media tempatan telah melaporkan yang peguam kepada Pistorius, kini dikatakan sedang berunding dengan ahli keluarga mendiang Reeva Steenkamp akan jumlah pampasan sebagai ganti kepada kehilangan pendapatan dan tekanan perasaan yang mereka alami ekoran kejadian itu.

Mereka mahu isu ini diselesaikan sebelum perbicaraan bermula pada 3 Mac tahun depan.

Menurut laporan media, peguam Pistorius, Kenny Oldwage bagaimanapun enggan memberikan sebarang ulasan berhubung dakwaan tersebut.

Keluarga Steenkamp dilaporkan merancang untuk membuat tuntutan sivil sehingga AS$300,000 dalam bentuk pampasan ke atas Pistorius.

Pelari yang berusia 26 tahun itu adalah seorang atlet bertaraf bintang yang dikenali dengan gelaran "The Blade Runner" kerana menggunakan kaki palsu berbentuk bilah dalam semua perlumbaannya.

Status bintangnya itu membolehkannya hidup mewah dengan hasil pendapatan daripada penyertaan dan juga penajaan iklan.

Reeva Steenkamp, adalah seorang model berambut blond dan juga seorang graduan undang-undang ditemui mati ditembak di dalam bilik air rumah mewah Pistorius di Pretoria pada awal pagi 14 Februari lalu.

Pistorius mengaku yang dia menembak Reeva tetapi bukan dengan niat membunuh sebaliknya kerana dihantui rasa fobia yang rumahnya dicerobohi oleh penjenayah.

Dia menembak menerusi pintu bilik air yang berkunci kerana menyangka seorang penceroboh telah memasuki rumahnya menerusi tingkap bilik air tanpa sedikit pun menyangka yang kekasihnya Reeva berada di dalam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan